13.5 Juta Tan Sampah Setiap Tahun



Setiap hari sebanyak 37,000 tan sampah dihasilkan di negara ini. Ini bermakna, kira-kira 13.5 juta tan sampah terhasil setiap tahun!. Jumlah itu sama besar dengan 30,000 buah kapal terbang Airbus A380 yang diletakkan di sebuah kawasan luas.

Sementara itu, perbelanjaan bagi menguruskan kesemua sampah seberat itu pula mencecah RM2.2 bilion setahun.

Bayangkan apa akan jadi jika keseluruhan sampah yang terhasil selama setahun itu memenuhi ruang yang kita ada tanpa diurus dengan baik. Bagaimana agaknya kita mahu meneruskan kehidupan dalam keadaan selesa?

Sewajarnya kita bersyukur kerana kerajaan berusaha mendidik masyarakat agar melaksanakan amalan kitar semula bagi sisa pepejal yang boleh digunakan semula. Seharusnya juga sikap menjaga kebersihan bermula dari diri masyarakat sendiri.

Pelaksanaan peraturan pengasingan sisa pepejal yang dikuatkuasakan kerajaan membuktikan bahawa sudah tiba masanya kita mengubah sikap ke arah mengutamakan kesejahteraan alam sekitar.

Data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan sehingga akhir tahun lalu, lebih 85,000 surat peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang diperiksa di seluruh negara ekoran kegagalan melaksanakan pengasingan sisa pepejal.

Statistik demi statistik berkaitan pengurusan sisa pepejal di negara ini bukan satu angka yang semakin mengecil. Malah ia semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh itu, jangan pandang remeh isu pengurusan sisa pepejal dan lebih penting, ambil inisiatif untuk kitar semula.

DK

Post a Comment

Previous Post Next Post