Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Meningkat



Setakat 2 Januari 2017

Jumlah mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat kepada 1,568 orang daripada 434 keluarga setakat 9 malam ini, berbanding 1,148 daripada 338 keluarga pukul 5 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, Pasir Puteh merupakan jajahan terbaharu dilanda banjir hari ini, menjadikan enam jajahan terkesan dengan bencana alam itu setakat ini.

Daripada jumlah mangsa itu, sebanyak 485 orang daripada 124 keluarga di Kuala Krai, 200 orang (47 keluarga) di Jeli, 482 orang (145 keluarga) di Tanah Merah.

Sebanyak 133 orang (28 keluarga) di Machang, 241 orang (85 keluarga) di Pasir Mas dan 27 orang (5 keluarga) di Pasir Puteh, katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Beliau berkata, mangsa banjir terbabit ditempatkan di 32 pusat pemindahan iaitu masing-masing lapan pusat pemindahan di Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas, empat pusat pemindahan di Machang, tiga pusat pemindahan di Jeli dan sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh.

Sementara itu, menurut laman sesawang kerajaan negeri ebanjir.kelantan.gov.my, bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini (8 malam) pada paras 10.27 meter meningkat sedikit berbanding 10.2 meter pada pukul 5 petang tadi. Paras bahaya ialah 9 meter.

Paras air di tiga lagi sungai utama di Kelantan -- Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai -- terus menunjukkan penurunan dan kini berada pada paras berjaga-jaga. 

Sumber - Bernama

DK

Post a Comment

Previous Post Next Post