Kerajaan Negeri Putuskan Hala Tuju TRW Hari Ini



Hala tuju bola sepak Kelantan kini terarah kepada keputusan kerajaan negeri Kelantan sama ada benar-benar berminat mahu mengambil alih pengurusan The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya masih mempunyai masa sebelum memuktamadkan keputusan tersebut, hari ini.

“Masih ada 24 jam, banyak lagi perkara boleh berlaku. Kita harap yang (pihak tertentu) duduk viral seperti (syarikat) redONE dan macam-macam penaja lagi itu, kita akan hubungi mereka (mengadakan perbincangan). 

“Sebagaimana saya sebut dahulu, penglibatan kerajaan negeri adalah untuk membina semula keyakinan dan kita tidak pernah meninggalkan sokongan kepada TRW,” katanya kepada media selepas mesyuarat mingguan Exco di Kota Bharu, semalam.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam, bersetuju menyerahkan pengurusan skuad Liga-M Kelantan kepada kerajaan negeri menerusi sepucuk surat, bertarikh 2 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Abdul Fattah, Isnin lalu, dengan kerajaan negeri membayangkan kesanggupan mengambil alih pasukan melalui syarikat atau pihak tertentu atas restu persatuan berkenaan.

Pada masa sama, Abdul Fattah menegaskan, kerajaan negeri tidak berhasrat mengambil alih tampuk pengurusan badan induk itu, sebaliknya memberi jaminan akan bersama Kafa bagi memastikan penyertaan Kelantan tidak terjejas dalam Liga-M.

“Kita tidak pernah kata hendak ambil alih Kafa. Mana boleh kita ambil alih, saya tengok surat itu diviralkan, itu dari sudut pengurusan, (tetapi) Kafa ada undang-undang mereka sendiri.

“Saya sebut dengan jelas, kita bersama Kafa untuk pastikan Kelantan beraksi dalam Liga-M. Itu kenyataan yang jelas, kita sedang berusaha, Kafa juga sedang berikhtiar dan pagi tadi (semalam) saya bincang lagi dengan BBBSK (Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan), kalau ada penaja, mereka boleh bawa kepada Kafa,” katanya.

Sementara itu, Afandi dalam satu sidang media berasingan memberitahu, pihaknya menunggu kata putus kerajaan negeri berhubung pengambilalihan pasukan berkenaan, sehingga hari ini.

“Pada dasarnya, kita bersetuju serahkan pengurusan pasukan kepada kerajaan negeri. Kafa kini sedang menanti keputusan tersebut dan berharap mereka dapat memuktamadkan selewat-lewatnya jam 10 pagi esok (hari ini - 5 Januari 2017),” katanya.


0 Sahabat Setia Blog Yang Baik Ini Telah Menulis Untuk "Kerajaan Negeri Putuskan Hala Tuju TRW Hari Ini"

 
Copyright © 2014 Datoksir Kronik - All Rights Reserved
Template By. Nyut Nyut