Kes Denggi Semakin Meningkat


Kes denggi mencatatkan peningkatan di sembilan negeri iaitu Pahang, Mela­ka, Kedah, Johor, Perak, Sabah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya pada minggu pertama tahun 2017 ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 1,663 kes dicatatkan di kesemua negeri itu dan Wilayah Persekutuan dengan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 1,329 kes.

Kata beliau, daripada jumlah tersebut, dua kematian dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 7 Januari lalu.

“Kes denggi adalah isu yang melibatkan kebersihan persekitaran. Komuniti perlu mengamalkan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan nyamuk pada setiap minggu. Sekiranya komuniti dan agensi lain mengambil inisia­tif dalam menjaga kebersihan persekitaran tidak mustahil kes denggi dapat dikurangkan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, hasil analisis kementerian terhadap kes denggi sepanjang 2016 mendapati 56 peratus daripada 101,357 keseluruhan kes terdiri daripada pesakit lelaki dan 44 peratus pesakit perempuan.

Selain itu katanya, sebanyak 99 peratus kes di diagnosis sebagai demam denggi dan satu peratus lagi merupakan severe dengue sama ada dengue shock syndrome atau dengue hemorrhagic fever.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu, kementerian telah mengeluarkan sebanyak 16,601 kompaun berjumlah RM8.2 juta di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Daripada jumlah kompaun tersebut, sebanyak 1,721 tindakan mahkamah diambil melibatkan denda berjumlah RM1,200,760. Selain itu, seba­nyak 2,305 tapak binaan diberi notis penutupan bagi kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 5 Januari lalu, jangkitan zika yang turut dibawa oleh nyamuk aedes dilaporkan berlaku di 75 buah negara.

Bagi situasi di Malaysia, katanya, dari 1 September hingga 31 Disember 2016, sebanyak lapan kes disahkan positif zika.

Walau bagaimanapun, jelas­nya, hasil ujian 24 sampel darah dan air kencing daripada pesakit menunjukkan gejala virus zika adalah negatif.

Ujian tersebut, katanya, di­buat oleh sistem survelan virus zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan dari 1 Januari hingga 7 Januari 2016 yang lalu.

Utusan Online

DK

Post a Comment

Previous Post Next Post