Pemilikan Rumah PR1MA Di Permudahkan


Lebih ramai rakyat golo­ngan pertengahan kini berpeluang memiliki rumah menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) apabila syarat kelayakan pemohon serta tempoh menjual dan menyewa dikemaskini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, perubahan dua dasar itu membabitkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000 dan memendekkan tempoh menjual dan menyewa (moratorium) kediaman dari 10 kepada lima tahun.

Menurut beliau, langkah itu dilakukan sebagai usaha kerajaan untuk membolehkan hasrat rakyat memiliki rumah dapat direalisasikan.

“Perubahan ini membolehkan rumah PR1MA lebih mudah dimiliki dan boleh dipasarkan kepada golongan sasar. Walaupun kita melakukan perubahan ini, harga rumah PR1MA masih kekal rendah 20 peratus daripada harga pasaran.” 

Dalam pada itu, Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa konsep 'satu bumbung' yang diperkenalkan Perbadanan PR1MA mampu membantu mempercepatkan proses pemilikan rumah.

“Di situ, pemohon boleh memilih lot rumah, memohon pinjaman dan khidmat guaman di bawah satu bumbung. Jadi, semua urusan (pemilikan rumah PR1MA) akan dapat diselesaikan dengan pantas dan menjimatkan masa. Selain itu, dalam pembentangan bajet lalu, saya juga ada mengumumkan mengenai skim pembiayaan akhir bagi membolehkan pembelian rumah oleh golongan sasar menjadi lebih mudah. Kita bukan sahaja nak membina rumah tetapi mahu memastikan mereka boleh memiliki rumah,” ujarnya.

Katanya, kerajaan menyasarkan sebanyak 500,000 unit rumah PR1MA dapat dibina oleh Perbadanan PR1MA Malaysia pada masa akan datang.

Utusan Malaysia Online

0 Sahabat Setia Blog Yang Baik Ini Telah Menulis Untuk "Pemilikan Rumah PR1MA Di Permudahkan"

 
Copyright © 2014 Datoksir Kronik - All Rights Reserved
Template By. Nyut Nyut