Kutipan Zakat Kelantan Meningkat (Feb 2017)


Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengutip zakat berjumlah RM162.8 juta pada tahun lalu berbanding RM161.7 juta tahun sebelumnya.

Timbalan Yang Dipertuanya Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi berkata, sebanyak RM100 juta hasil kutipan zakat tahun lalu diagihkan bagi membantu golongan asnaf fakir miskin, manakala RM40 juta untuk asnaf fisabilillah termasuk membiayai pendidikan anak golongan miskin di dalam dan luar negara.

Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, jumlah kutipan zakat yang disalurkan kepada MAIK didapati meningkat setiap tahun yang menunjukkan pembayar zakat mempunyai kesedaran yang tinggi termasuk sektor korporat. MAIK berusaha membantu golongan lapan asnaf termasuk membina rumah baru berharga RM38,000 seunit manakala sebanyak RM10,000 hingga RM20,000 bagi membaik pulih rumah mereka yang layak.

MAIK menerima cek zakat perniagaan BIMB 2016 berjumlah RM496,995.17 daripada Ketua Pegawai Syariah BIMB, Mohd Nazri Chik.

Nik Mohd Azlan berkata, MAIK berharap agihan zakat kepada asnaf dapat membantu mereka terutama mengeluarkan golongan itu dari garis kemiskinan.

Katanya, salah satu pendekatan pihaknya menaja pendidikan kepada anak asnaf miskin di dalam dan luar negara dan mereka diharap dapat mengubah kehidupan keluarga dari miskin kepada kemampuan membayar zakat.

0 Sahabat Setia Blog Yang Baik Ini Telah Menulis Untuk "Kutipan Zakat Kelantan Meningkat (Feb 2017)"

 
Copyright © 2014 Datoksir Kronik - All Rights Reserved
Template By. Nyut Nyut