Bulan Rejab



Pengenalan

Rejab ertinya "Mulia". Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu:
  • Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.
  • Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.
  • Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
  • Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.
Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Israk dan Mi’raj. 

Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qat'ie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

Pada bulan ini juga berlakunya Perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang di saksikan oleh Rasulullah SAW.





Fadhilat Dan Kelebihan Bulan Rejab

1. Sabda Nabi S.A.W : Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah memuliakan dengan 1000 kemuliaan di hari Qiamat.

2. Sabda Nabi S.A.W. : Bulan Rejab bulan Allah, Bulan Sya'ban bulanku (Bulan Nabi SAW) dan Bulan Ramadhan bulan ummat Ku (Bulan Umat Nabi SAW)

3. Kemuliaan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, Sya'ban dengan malam Nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul Qodarnya.

4. Malam awal Rejab mustajab doanya (kitab Raudhoh Imam Nawawi).

5. Puasa sehari pada bulan Rejab dijadikan Allah baginya dua sayap, akan membawanya terbang di atas Sirootul Mustaqim di hari Qiamat. (Al-Hadis).

6. Puasa sehari dalam bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga. (Al-Hadis).

7. Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipat gandakan pahalanya. (Al-Hadis).

8. Puasa 3 hari pada Bulan Rejab dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke neraka yang panjangnya setahun perjalanan. (Al-Hadis).

9. Puasa 4 hari pada Bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajjal di hari Qiamat. (Al-Hadis).

10. Puasa 5 hari pada bulan Rejab, Allah SWT akan amankannya daripada azab kubur. (Al-Hadis)

11. Puasa 6 hari pada bulan Rejab, ia keluar daripada kubur dengan bercahaya mukanya. (Al-Hadis)

12. Puasa 7 hari pada bulan Rejab, ditutup daripadanya tujuh pintu neraka. (Al-Hadis)

13. Puasa 8 hari pada Bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu Syurga. (Al-Hadis)

14. Puasa 9 hari pada Bulan Rejab, keluar daripada kuburnya lalu menyeru لا إله إلا الله dan tidak ditolak dia masuk ke dalam syurga. (Al-Hadis)

15. Puasa 10 hari pada Bulan Rejab, Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi SiratulMustaqim pada tiap-tiap satu batu. (Al-Hadis)

16. Puasa 16 hari pada Bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah didalam syurga, dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam Syurga. (Al-Hadis)

17. Puasa 19 hari pada Bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai dihadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim A.S. dan Nabi Allah Adam A.S. (Al-Hadis)

18. Puasa 20 hari pada Bulan Rejab, diampunkan Allah segala dosanya yang telah lalu, Maka mulai lah beramal apa-apa yang tinggal daripada umurnya. (Pembaharuan umur bermaksud terhapus dosa-dosanya). (Al-Hadis)

19. Berkata Saidina Ali R.U. :
  • Puasa Rejab 13 hari seperti puasa 3000 tahun.
  • Puasa Rejab 14 hari seperti puasa 10,000 tahun.
  • Puasa Rejab 15 hari seperti puasa 100,000 tahun.

20. Kelebihan Bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Al-Quran atas segala Qalam. (Al-Hadis)

21. Puasa pada awal Rejab, pertengahan dan akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya. (Al-Hadis).

22. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan Ibadah seumur hidupnya.

Maka akan berseru dari langit :

Gembiralah kamu dengan kemuliaan yang besar dan diminumkan dia ketika hendak mati. Mati ia dengan puasa, masuk kubur ia dengan puasa, keluar kubur dengan puasa, dan masuk syurga dengan puasa dan masuklah syurga dengan sepuas-puasnya. ia terlepas dari azab kubur yakni yang berpuasa disiang hari dan beribadah pada malamnya. (Al-Hadis)

23. Bulan Rejab (Bulan Allah) di ampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah S.W.T.

Puasa bulan Rejab wajib baginya :
  • Diampunkan dosanya yang lalu
  • Dipelihara Allah umurnya yang tinggal.
  • Terlepas dari dahaga di hari Qiamat.

24. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah sedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. (Al-Hadis).

25. Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma pada jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dan dihapuskan seribu kejahatan. (Al-Hadis)

26. Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadah seribu Haji dan Umrah. Dibina seribu mahligai, seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali ganda, kerana keistimewaan bulan Rejab yakni bulan Allah. (Al-Hadis)

27. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka, kerana kemuliaan bulan Rejab, bulan Allah. (Al-Hadis).

28. Barangsiapa meminta ampun (beristighfar) kepada Allah pada pagi dan petang hari 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab diharamkan tubuh atau jasadnya daripada api neraka. (Al-Hadis).

29. Puasa pada hari 27 Rejab seperti berpuasa 60 bulan pahalanya.Jika disertai dengan sedekah seperti puasa selama 1000 tahun, kerana kebesaran hari Israk mikraj. (Al-Hadis).

30. Sesiapa yang melapangkan kekeruhan, kesusahan dan masaalah orang mukmin pada bulan Rejab, dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga firdaus. (Al-Hadis).

31. Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadah pada malamnya (berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun lamanya, di ampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kubur, 70 hajat ketika terangkatnya suhuf (ketika Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika di timbang amalannya di Mizan (timbangan amal), 70 hajat ketika berlalu di titi SiratulMustaqim. (Al-Hadis).

32. Sabda Nabi SAW, "Ketika malam aku di mikrajkan aku melihat sungai yang airnya lebih manis daripada madu dan lebih dingin daripada salji , lebih wangi daripada kasturi. Maka aku bertanya : "Wahai Jibrail, untuk siapa ini semua ?"

Jibrail menjawab : "Untuk mereka yang membaca selawat untukmu pada bulan Rejab", Nabi bersabda : "Taubatlah kamu sekelian kepada Allah dan mohonlah keampunan dari dosa-dosamu dan jauhilah daripada perbuatan maksiat pada bulan haram iaitu Rejab".

33. Beramal pada bulan Rejab digandakan 70 pahala, Syaaban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1000 pahala. (Al-Hadis).

34. Di dalam syurga terdapat suatu sungai yang bernama ‘Rajab’ ia lebih putih daripada susu, dan rasanya lebih manis daripada madu. Maka barang siapa yang berpuasa (sebahagian) daripada Bulan Rejab, Allah akan memberi minum dengan air sungai tersebut. (Al-Hadis).

35. Setiap orang akan berasa lapar pada hari Qiamat, kecuali para-para Nabi dan keluarganya dan pada mereka-mereka yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan, Maka sesungguhnya mereka selalu merasa kenyang, tidak lapar dan tidak pula haus.

36. Apabila engkau mengkehendaki suatu ketenangan waktu mati, dan meninggalkan dunia ini beserta Iman dan selamat dari godaan syaitan, maka hormatilah bulan-bulan ini semua (Rejab, Syaaban dan Ramadhan) dengan memperbanyakkan puasa dan menyesali terhadap dosa-dosa lalu, ingatlah kepada pencipta alam ini, maka kamu akan masuk syurga dengan selamat. (Hadis)

37. Dari Anas bin Malik r.u. berkata: "Aku bertemu dengan Muadz bin Jabbar r.a. Maka aku bertanya kepadanya : Dari mana engkau datang wahai Muadz? Ia menjawab "Aku dari tempat Rasulullah s.a.w. "Apa yang engkau dapat daripadanya?" Tanya Anas. "Aku mendengar bahawa barangsiapa yang mengucapkan لا إله إلا الله , Maka ia akan meninggalkan dunia ini dengan Ikhlas masuklah ia kedalam syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Rejab, kerana mengharapkan keredhaan Allah, maka masuk ia akan syurga". Maka aku terus ke rumah Rasulullah s.a.w. dan bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Muadz bercerita begini-begini kepadaku". Maka Rasulullah s.a.w. menjawab benar apa yang dikatakan oleh Muadz. (Zuhratur Riyad)



Daripada Usama bin Zaid ra, beliau berkata:

"Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebanyak yang baginda puasa di bulan Sya’ban.” Aku bertanya kepada Baginda "Kenapa aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dibulan-bulan yang lain sepertimana engkau berpuasa dibulan sya’ban.” Baginda SAW menjawab: Itulah bulan yang ramai manusia lalai iaitu diantara bulan rejab dan bulan ramadan. Ia juga bulan yang diangkatkan amalan kepada Allah swt. Aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa.” (Hadis Ahmad dan Nasaie - Sanad yang Hasan)

Di sini Nabi menyebut dua kelebihan bulan Rejab:
  • Bulan yang disunatkan beramal terutamanya puasa kerana bulan yang mana manusia biasa lalai dalam bulan ini.
  • Bulan yang diangkat amalan kepada Allah.

Daripada Uthman bin Hakim al Ansari beliau (Uthman) pernah menanyakan Sa’id bin Jubair tentang puasa Rejab (pada bulan Rejab) dan kami ketika itu berada pada bulan Rejab. Sa’id menjawab :

"Aku mendengar Ibn Abbas berkata. "Adalah Rasulullah SAW berpuasa (Rejab) sehingga kami menyangka Baginda SAW tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan Baginda SAW berbuka sehingga tidak nampak berpuasa."


Imam Nawawi menyatakan :

“Apa yang zahir dari ucapan Sa’id bin Juba’ir menjadi bukti bahawa tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana (semata) bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain. dan tidak ada larangan (yang thabit) untuk melakukan ibadat puasa di Bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa tersebut.

Al Imam al Hafiz, Syaikh Ibn Rajab al Hanbali menyebutkan di dalam Latho’if al Ma’arif :

“Dan adapun puasa (puasa Rejab) , maka tidak ada suatu khabar yang shahih tentang fadhilat puasa Rejab secara khusus dari Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam dan tidak juga dari para sahabat Baginda SAW Akan tetapi diriwayatkan dari Abi Qilabah, dia berkata : “Di dalam syurga ada mahligai untuk sesiapa yang berpuasa Rejab”. 

Imam al Baihaqi berkata : “Abi Qilabah adalah dari Kibar Tabi’ien (Tabi’ien terkemuka), dia tidak akan berkata seperti itu melainkan di ambil daripada seseorang (iaitu para sahabat) yang perkataannya di ambil pula dari Rasulullah SAW.

Sesungguhnya telah warid tentang puasa pada bulan-bulan Haram (termasuk Rejab) keseluruhannya dari hadith Mujibah al Bahiliyyah dari bapanya dan bapa saudaranya, sesungguhnya Nabi berkata kepadanya :

“Puasalah pada bulan-bulan Haram, dan tinggalkanlah.” Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali. Hadith ini ditakhrijkan oleh Abu Daud dan selainnya. Ibnu Majah mentakhrijkannya dengan lafaz di sisinya: "Puasalah pada bulan-bulan Haram". 

Sesungguhnya setengah daripada para Salaf berpuasa sepenuh-penuh bulan-bulan Haram di antara mereka Ibn Umar, al Hasan al Bashri dan Abu Ishaq as Subaili. Sufyan At Thauri berkata: Bulan-bulan Haram, aku menyukai untuk berpuasa dalamnya”


Berkata Imam asy-Syafi’ie dalam kitabnya al-Umm:

"Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa di kabulkan pada lima malam iaitu : pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya’baan."



Amalan Amalan Di Bulan Rejab
  • Banyakkan puasa sunat.jika mampu,
  • Perbanyakkan Solat-solat sunat yang mengiringi solat fardhu (rawatib).
  • Solat sunat Dhuha, sunat tasbih, sunat tahajjud, sunat hajat, sunat witir dan sebagainya, buat menampung amalan fardhu
  • Banyakkan masa dengan membaca Al-Quran.
  • Banyakkan berzikir dengan bertasbih bertahmid, bertakbir dan bertahlil beberapa ratus kali. Jika tak mampu lakukan beberapa kali termampu pada sebilangan waktu. Waktu terbaik ketika hampir subuh selepas subuh dan ketika hampir masuk waktu berbuka puasa.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW sebanyaknya
  • Beristighfarlah mohon keampunan diatas dosa-dosa yang lalu. Paling utama bacalah Istighfar Rejab setiap hari (sila rujuk dalam kitab-kitab doa atau melalui tuan-tuan guru mengenainya)
  • Berdoalah memohon sebanyak-banyaknya dalam solat, di dalam sujud dan selepas solat beberapa lama tanpa berasa jemu meminta.

Rasulullah SAW bersabda , "Barangsiapa berpuasa pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu pada bulan haram (Rejab) maka Allah mencatat baginya ibadah dua tahun".

Rasulullah SAW bersabda , ”Barangsiapa berpuasa satu hari berpuasa pada bulan Rejab, maka ia seperti berpuasa (selama) satu tahun".

Abu Qilabah r.u berkata , ‘Di dalam syurga terdapat sebuah istana yang disediakan khusus bagi orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab.”

Rasulullah saw. Bersabda "Di dalam bulan Rejab ada 1 hari dan 1 malam yang mana barangsiapa berpuasa pada hari itu dan solat malam pada malam itu, maka ia bagaikan berpuasa 100 tahun dan solat malam 100 tahun lamanya. Hari itu ialah 3 hari terakhir". 







0 Sahabat Setia Blog Yang Baik Ini Telah Menulis Untuk "Bulan Rejab"

 
Copyright © 2014 Datoksir Kronik - All Rights Reserved
Template By. Nyut Nyut