Sultan Muhammad V Yang Di-Pertuan Agong Ke-15



Pada 24 April 2017, Sultan Muhammad V ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, untuk tempoh lima tahun.

Istiadat Pertabalan di Istana Negara mengikut warisan Kesultanan Melayu itu adalah bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia mempunyai ketua negara yang baru berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan.

Sultan Muhammad V, 47 tahun, sebelum ini melafaz sumpah memegang jawatan itu, pada 13 Disember lalu, bagi menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu''adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh tersebut.

Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan sistem penggiliran pemerintahan itu adalah satu-satu yang seumpamanya di dunia.

Istiadat Pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, dan Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V itu turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).


Awal sebelum itu, Istiadat Pertabalan itu dimulakan sebaiknya Sultan Muhammad V masuk ke Balairung Seri dengan diiringi tiupan serunai dan paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D''Raja Kelantan yang mengalunkan lagu ''Raja Berangkat''.

Sultan Muhammad V yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu ''Muskat'' (seperti kot hitam labuh) bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dan memakai Tengkolok Diraja yang soleknya (bentuk ikatan) dinamakan ''Dendam Tak Sudah''.

Istiadat kemudian diteruskan dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.


Sebaik sahaja selesai ikrar dilafazkan, tiupan serunai dan paluan gendang dengan lagu ''Raja Bertabal'' dimainkan, diikuti laungan ''Daulat Tuanku'' sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairung Seri.

Sejurus selepas itu lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Oktober 2016, bagi tempoh lima tahun.




Profil Sultan Muhammad V. Sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut :

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

Pendidikan tinggi di UK

Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989.

Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

Pada 13 September 2010 baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.


Bidang Ketenteraan, Persatuan

Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.

Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu :-

1. Persatuan Menembak Kelantan;
2. Yayasan Sultan Kelantan (YSK);
3. Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan;
4. Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM);
5. Persatuan Bulan Sabit Merah;
6. Persatuan Sukan Berkuda;
7. Persatuan Motor 4 x 4;
8. Persatuan Memanah

Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor – Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan – April 2011)., D.K. (Johor – 2011)., D.K. (Perak – Julai 2011)., D.K. (Perlis – Oktober 2011)., D.K. (Kedah – Mac 2012)., D.K.(Terengganu – November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017)

Peribadi Baginda

Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan.

Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.


Raja Berjiwa Rakyat

Tengku Muhammad Faris Petra, 47, putera sulung Sultan Ismail Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat serta berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) gemar membaca serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin Aishah Putri, 27.







0 Sahabat Setia Blog Yang Baik Ini Telah Menulis Untuk "Sultan Muhammad V Yang Di-Pertuan Agong Ke-15"

 
Copyright © 2014 Datoksir Kronik - All Rights Reserved
Template By. Nyut Nyut