Fidaus Ahmad : The Takafulman


Info kali ini berbicara tentang kisah kejayaan lelaki ini dalam bidang Takaful di Facebook baru-baru ini. 

Bekerja sebagai Eksekutif kanan di syarikat minyak dan gas paling terkenal di Malaysia, syarikat Petronas dengan suasana pejabat di Menara Berkembar yang berprestij dan serba selesa, sudah pasti menjadi impian kebanyakan insan di kota metropolitan. 

Ribuan graduan saban masa menghantar permohonan kerja, juga tidak ketinggalan pegawai eksekutif, jurutera, akauntan dan segala macam latar kerja dari syarikat dan industri lain ikut serta menghantar cv demi merebut tempat di syarikat kebanggaan Malaysia ini.

Namun itu semua tidak menghalang bekas penjawat kanan Carigali Sdn Bhd (anak syarikat induk Petronas), Firdaus Ahmad untuk melakukan perkara yang hampir tidak pernah di lakukan oleh mana mana penjawat kanan di syarikat tersebut, yakni meninggalkan kerja yang menjadi rebutan ramai, untuk sebuah perniagaan yang dianggap sebagai pilihan terakhir bagi sesiapa yang saja yang mendengar, iaitu menjadi seorang ejen Takaful sepenuh masa.

Memiliki kerjaya yang dipandang hebat oleh keluarga dan masyarakat, tidak sekali kali pernah mengaburi cita cita beliau yang hanya mahukan satu perkara,‘kelapangan masa’.

Bekerja dengan syarikat yang bereputasi tinggi seperti Petronas sangat mencabar. Ditambah dengan jawatan eksekutif kanan operasi logistik yang saya pikul, memerlukan saya banyak ‘travel’ samada dalam atau luar negara. Hari ni saya di Kerteh, esok saya di Singapore dan lusa saya mungkin perlu berada di Dubai, Tokyo atau Mumbai, begitulah kitaran kerja saban hari.

Rutin hariannya selama lapan tahun lebih, yang terpaksa berulang alik pergi kerja dari Tanjung Malim ke KLCC turut menjadi menjadi faktor untuk beliau beralih kerjaya. Selama lapan tahun lebih beliau keluar rumah jam 6 pagi, dan sampai semula ke rumah jam 9 atau 10 malam, suatu rutin yang tak tergamak diteruskan buat selama lamanya.

Siapa sangka dengan mendapat gaji dalam sekitar RM15,000 (termasuk bonus setiap bulan), beliau telah memilih jalan untuk berhenti dan menjadi Ejen Takaful sepenuh masa.

Keluar rumah gelap, balik rumah pun gelap. Kadang kadang bila sampai rumah anak anak pun dah tidur. Saya akui bukan saya seorang berhadapan isu begini, hampir semua yang bergelar pekerja makan gaji, terutamanya yang bekerja di ibu kota, turut berhadapan situasi yang sama, keluar gelap balik pun gelap. Namun itu tidak menghalang untuk saya terus mencari jalan keluar, dan satu satunya cara tidak lain mestilah dengan melalui jalan perniagaan sendiri. Persoalannya ketika itu, nak meniaga apa? Kerja hari hari ni pun tak menang tangan,nak berniaga masa bila pulak?

Pertengahan 2011 merupakan titik permulaan beliau dalam bidang Takaful. Setelah di perkenalkan oleh seorang sahabat, tanpa banyak berfikir beliau terus lakukan secara sambilan. Inilah sifat yang perlu kita tanam, tidak perlu toleh ke belakang. Buat keputusan dan jalan terus!

"Motivasi saya mudah. Turunkan ego. Buatlah Takaful ni pelan pelan. Tengahari jumpa orang, malam jumpa orang, Sabtu Ahad pun jumpa orang. Senang cerita jumpa orang jelah kerjanya. Mula-mula memang rasa tak best. Yelah, kita ni kerja Petronas, tiba tiba buat part time jadi ejen Takaful pulak, orang dengar pun pelik. Tapi saya teruskan juga. Sebab matlamat akhir, saya mesti tinggalkan kerja keluar gelap balik gelap macam ni, saya mesti kawal masa saya, kawal jadual, dan kawal hidup saya secara menyeluruh, bukan hidup yang berpaksa paksaan begini. Saya mahukan masa dengan anak anak. Hantar mereka ke sekolah, makan tengahari dengan mereka, rileks dan ada masa untuk aktiviti aktiviti yang saya minat dan suka".

Pertengahan 2013, Firdaus Ahmad dengan rasmi meletakkan jawatan di Petronas untuk berkecimpung dalam perniagaan Takaful sepenuh masa. Banyak perkara yang saya mahu buktikan kepada orang ramai, antaranya :

Pertama, saya mahu buktikan yang kalau kita mahukan sesuatu, tiada apa yang boleh menghalang kita untuk mencapainya.

Kedua, saya mahu buktikan yang kerjaya sebagus mana sekalipun, kalau kualiti masa kita dengan keluarga tidak menentu, maka itu tidak akan membawa kita kemana mana.

Ketiga, saya mahu buktikan, perniagaan yang dipandang remeh seperti menjadi ejen Takaful ini, kalau dibuat dengan bersungguh-sungguh, tidak mustahil boleh mengubah nasib dari kehidupan biasa kepada kehidupan yang senang lenang dan kaya raya. Dan yang terakhir, saya mahu jadikan Takaful ini sebagai suatu perkara yang cool, hype, sempoi dan dekat dihati orang muda.

Berusaha, bersungguh-sungguh, fokus, dan ‘determined’ dalam melakukan kerja kerja Takaful, pastinya membuahkan hasil. Firdaus Ahmad bermula dengan pencapaian sebagai ‘Star Club Wealth Planner 2011’, kemudian mencapai kedudukan ‘Senior Wealth Planner 2012’, sebelum membuktikan dirinya sebagai ahli Takaful paling berjaya dengan kedudukan ‘Premiere Wealth Planner 2013’, yang membawa dirinya ke kedudukan ejen Takaful nombor 1 di Malaysia. 

Pencapaian cemerlang ini diteruskan dan terbukti pada tahun 2014, beliau sekali lagi dinobat sebagai ejen Takaful nombor 1 di Malaysia buat kali kedua berturut turut. Disamping berjaya menggondol anugerah MDRT, yakni antara anugerah tertinggi dalam industri Insuran dan Takaful.

Di tanya tentang perancangan 2015, beliau mahu kerahkan tenaga untukmelatih dan mendidik lebih ramai orang yang mahu berjinak jinak dalam bidang Takaful. Tidak ada yang lebih penting dari melahirkan 100 atau 1000 ejen Takaful, supaya kefahaman dan kepentingan Takaful dapat disemarakkan secara lebih komited dan efisyen ke seluruh masyarakat. Pendidikan Takaful merupakan aspek paling utama yang mesti difahami oleh kebanyakan orang, dan tugas itu terletak atas bahu ejen ejen. Mendidik, bukan menjual, kerana perlindungan Takaful mesti bermula dengan didikan, bukan jualan.

Mengikut kajian statistik insuran takaful, setakat tahun 2014, rakyat Malaysia yang dilindungi dengan insuran takaful tidak lebih dari 15%. Dengan jumlah ejen sedia ada, matlamat untuk member perlindungan takaful sekurang kurangnya ke tahap 30%, sukar untuk dicapai. Secara purata, industri memerlukan kurang lebih 3000 hingga 5000 ejen ejen baru yang aktif untuk menguruselia peningkatan pemilikan polisi perlindungan.

Merujuk kepada fakta di atas, “Tidak mungkin saya seorang boleh melakukan kerja 3000 orang. Jadi, jalan paling efektif adalah dengan melatih dan melahirkan ejen ejen baru yang bermotivasi dan mahu mengubah haluan kerjaya, lalu mereka pula akan melatih dan mendidik pula ribuan ejen ejen lain untuk meneruskan legasi Takaful ini. Tidak kira samada mereka ini asalnya penjual burger, atau pengurus syarikat, asalkan mereka mahu mengubah nasib dan mahu bebas mengawal jadual hidup, saya alu alukan”.

Firdaus Ahmad juga ada menceritakan kisah ulang-alik beliau antara Tanjung Malim – KLCC dalam buku tulisan beliau yang bertajuk Dari Tanjung Malim ke KLCC, Dari KLCC ke Tanjung Malim dan Proletar Dua Menara.



DK

Post a Comment

Previous Post Next Post