Dimana Letaknya Hati Al Quran


Hadis “Yasin sebagai Jantung (Hati) Al-Qur’an” dibincangkan oleh para ulama’ antara dha’if dan hasan jika digabungkan kebanyakan riwayat-riwayatnya. Namun, jika ianya dinilai sebagai dha’if sekalipun, hadis ini boleh digunakan di sisi majoriti ulama’ hadis dalam bab menceritakan kelebihan surah Yasin kerana majoriti ulama’ hadis (bahkan dikatakan ianya sepakat di sisi ulama’ oleh Imam An-Nawawi dan sebagainya) membenarkan periwayatan hadis yang dinilai dha’if dalam bab fadha’il(kelebihan-kelebihan sesuatu) selagimana ianya tidak terlalu dho’if.

Bahkan, hadis “Yasin sebagai jantung (hati) Al-Qur’an” sekadar dinilai dha’if namun mempunyai banyak jalan riwayatnya yang boleh saling kuat menguatkan. Jika tidak demikian sekalipun, ianya tidak sampai tahap maudhu’ atau palsu seperti dakwaan sesetengah pihak yang tidak meluaskan kajian mereka tentang hadis ini.

Nas Hadis “Yasin Jantung Al-Qur’an”

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس 
 وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap perkara ada jantung (hati)nya sedangkan jantung (hati) Al-Qur’an adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya maka Allah s.w.t. akan menulis baginya dengan bacaannya tersebut, bacaan seluruh Al-Qur’an sebanyak sepuluh kali”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi dalam kitab Al-Jami’e As-Sunan beliau kitab Fadha’il Al-Qur’an pada Bab Ma Ja’a fi Fadhl Yasin.

Imam At-Tirmizi r.a. berkata tentang hadis ini:

هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ ، لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ حُمَيْدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، وَبِالْبَصْرَةِ لَا يَعْرِفُونَ مِنْ حَدِيثِ قَتَادَةَ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ ، وَهَارُونُ أَبُو مُحَمَّدٍ شَيْخٌ مَجْهُولٌ ، حَدَّثَنَا أَبُو مُوسَى مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى ، حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ سَعِيدٍ الدَّارِمِيُّ ، حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ ، عَنْ حُمَيْدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بِهَذَا ، وَفِي الْبَابِ ، عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ ، وَلَا يَصِحُّ حَدِيثُ أَبِي بَكْرٍ مِنْ قِبَلِ إِسْنَادِهِ ، وَإِسْنَادُهُ ضَعِيفٌ ، وَفِي الْبَابِ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ .

Maksudnya: “Hadis ini gharib yang mana kami tidak mengetahuinya melainkan daripada Hadis Humaid bin Abdil Rahman. Adapun di Basrah, mereka (ahli hadis) tidak mengetahui hadis Qatadah melainkan dari wajah ini (iaitu riwayat Qatadah kepada sahabat r.a. melainkan kepada Anas r.a.). Adapun Harun Abu Muhammad adalah seorang Sheikh yang majhul (tidak dikenali). Abu Musa Muhammad bin Al-Muthanna telah menceritakan kepada kami bahawasanya Ahmad bin Sa’id Abi Bakr telah menceritakan kepada kami, Qutaibah menceritakan kepada kami daripada Humaid bin Abdil Rahman dengan hadis ini. Adapun dalam bab ini, maka daripada Abi Bakar As-Siddiq r.a. namun tidak sahih hadis (riwayat) Abu Bakar r.. dari sudut sanadnya. Sedangkan, sanadnya dha’if. Dan dalam bab ini juga diriwayatkan juga daripada Abi Hurairah r.a. [Al-Jami’e oleh Imam At-Tirmizi pada kitab Fadha’il Al-Qur’an, Bab Ma Ja’a fi Fadhl Yasin]

Adapun sanad hadis ini sebagaimana dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi adalah:

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ ، وَسُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ ، قَالَا : حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ ، عَنِ الْحَسَنِ بْنِ صَالِحٍ ، عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ ، عَنْ مُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ ، عَنْ قَتَادَةَ ، عَنْ أَنَسٍ 

Maksudnya: Qutaibah dan Sufian bin Waqi’ telah menceritakan kepada kami (Imam At-Tirmizi) bahawa kedua-duanya berkata: Humaid bin Abdil Rahman Al-Ruwwasi telah menceritakan kepada kami daripada Al-Hasan bin Sholeh daripada Harun Abi Muhammad daripada Muqotil bin Hayyan daripada Qatadah r.a. daripada Anas r.a..

Imam At-Tirmizi r.a. menyebut bahawasanya sanad hadis ini lemah kerana antara sebabnya adalah Harun Abu Muhammad adalah seorang yang majhul. Hadis ini dikeluarkan oleh lebih kurang tujuh belas jalan periwayatan tetapi semuanya melalui jalan Harun Abu Muhammad.

Selain itu, Al-Imam At-Tirmizi menyebut dua jalan lain bagi hadis ini iaitu melalui hadis Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Abu Hurairah r.a..

Imam Ibn Kathir menyebut mensyarahkan perkataan Imam At-Tirmizi r.a. tentang hadis ini melalui riwayat Saidina Abu Bakar r.a.:

أما حديث الصديق فرواه الحكيم الترمذي في كتابه نوادر الأصول .

Maksudnya: Adapun hadis (Abu Bakar As-Siddiq r.a.), maka ianya diriwayatkan oleh Al-Hakim At-Tirmizi dalam kitabnya Nawadir Al-Usul. [Tafsir Ibn Kathir bagi surah Yasin]

Namun, menurut Imam At-Tirmizi tadi, hadis ini dengan sanad bersambung kepada Saidina Abu Bakar r.a. adalah tidak sahih dan sanadnya lemah.

Untuk perhatian, dalam hadis ini, ada dua struktur lafaz iaitu

Lafaz pertama:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس

Maksudnya:

Sesungguhnya bagi setiap perkara ada jantung (hati)nya sedangkan jantung (hati) Al-Qur’an adalah Yasin.

Dan:

Lafaz kedua:

وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang membacanya maka Allah s.w.t. akan menulis baginya dengan bacaannya tersebut, bacaan seluruh Al-Qur’an sebanyak sepuluh kali

Adapun mereka yang meriwayatkan lafaz pertama sahaja tanpa penambahan lafaz kedua adalah seperti Imam Ad-Daruqutni dalam Al-Fawaid Al-Mutaqah, Imam Ibn Qudamah dalam Al-Muntakhab Juzuk 10, Imam Abu Al-Husain Muhammad bin Al-Muhtadi billah dalam Masyikhah beliau, Imam Al-Bazzar dalam Al-Bahr Al-Zakhar bi Musnad Al-Bazzar (no: 7282), Imam Ibn Hajar Al-Asqolani dalamAl-Ittihaf, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (5: 273) dan sebagainya.

Adapun mereka yang meriwaytkannya dengan penambahan lafaz kedua: Imam Ad-Darimi dalam Sunannya (no: 3416), Imam Al-Mizzi dalam Tahzib Al-Kamal ketika membincangkan tentang Harun Abu Muhammad, Imam As-Syihab dalam Musnadnya (no: 1035), Imam Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman(no: 2245), Imam Al-Jurjani dalam Al-Amali Al-Khamisiyyah, Imam Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq(no: 24068) dan sebagainya.

Perlu disebut di sini juga, bahawasanya, sebahagian ulama’ pula meriwayatkan hadis-hadis dengan lafaz kedua tanpa penambahan lafaz pertama (Yasin adalah jantung Al-Qur’an) dengan sanad yang lebih kuat yang akan dibincangkan kemudian.

Kesemua mereka meriwayatkan hadis ini (iaitu dengan lafaz Yasin adalah jantung Al-Qur’an) daripada hadis Anas bin Malik r.a. melaluin jalan Harun Abu Muhammad. Di samping itu, hadis ini ada jalan lain yang tidak melalui jalan Harun tetapi lebih lemah berbanding jalan ini. Dalam Musnad Ibn Syihab pula menyebut hadis ini dengan lebih panjang melalui hadis Ubay bin Ka’ab tanpa melalui jalan Harun Abi Muhammad ini.

أَخْبَرَنا أَبُو مُحَمَّدٍ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مُحَمَّدٍ الأُدْفُوِيُّ ، ثنا أَبُو الطَّيِّبِ ، أَحْمَدُ بْنُ سُلَيْمَانَ الْجُرَيْرِيُّ إِجَازَةً ، أنبا أَبُو جَعْفَرٍ ، مُحَمَّدُ بْنُ جَرِيرٍ الطَّبَرِيُّ ، حَدَّثَنِي زَكَرِيَّا بْنُ يَحْيَى ، ثنا شَبَابَةُ ، ثنا مَخْلَدُ بْنُ عَبْدِ الْوَاحِدِ ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ زَيْدِ بْنِ جُدْعَانَ ، وَعَطَاءِ بْنِ أَبِي مَيْمُونَةَ ، عَنْ زِرِّ بْنِ حُبَيْشٍ ، عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا ، وَإِنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس وَهُوَ يُرِيدُ بِهَا اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ، وَأُعْطِيَ مِنَ الأَجْرِ كَأَنَّمَا قَرَأَ الْقُرْآنَ اثْنَتَيْ عَشْرَةَ مَرَّةً…

Maksudnya: “Abu Muhammad Abdul Rahman bin Muhammad Al-Arfuni telah mengkhabarkan kepada kami bahawa, Abu At-Tayyib Ahmad bin Sulaiman Al-Jurairi telah menceritakan kepada kami secara ijazah, Abu Ja’far Muhammad bin Jarir At-Tabari telah memberitahu kami bahawa, Zakaria bin Yahya telah menceritakan kepadaku bahawasanya Syababah telah menceritakan kepada kami bahawa, Makhlad bin Abdil Wahid telah menceritakan kepada kami daripada Ali bin Zaid bin Jud’an dan Atho’ bin Abi Maimun daripada Zir bin Hubaish daripada Ubai bin Ka’ab r.a. bahawasanya beliau berkata, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu ada jantung (hati) dan sesungguhnya jantung (hati) Al-Qur’an adalah Yasin. Dan sesiapa yang membaca Yasin kerana Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. akan mengampuninya serta diberi ganjaran kepadanya sebagaimana orang membaca Al-Qur’an dua belas kali…” (sehingga akhir hadis).

Abu Muhammad Al-Arfuni dan Abu At-Tayyib Ahmad Al-Jurairi dinilai sebagai dua orang yang majhul(tidak dikenali) di sisi para ulama’ pengkaji sanad hadis. Maka, jalan periwayatan ini lebih lemah berbanding jalan hadis riwayat Imam At-Tirmizi r.a..

Apabila kita melihat komen awal daripada Imam At-Tirmizi r.a., beliau menyebut bahawasanya, ada jalan lain bagi hadis ini iaitu melalui Abu Hurairah r.a.. Jika kita rujuk kitab Kasyf Al-Astar, maka Imam Nuruddin Ibn Hajar Al-Haithami meriwayatkan hadis ini daripada Saidina Abu Hurairah r.a..

حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ الْفَضْلِ ، ثنا زَيْدٌ ، ثنا حُمَيْدٌ ، عَنْ عَطَاءٍ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا ، وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس " . قَالَ الْبَزَّارُ : لا نَعْلَمُ رَوَاهُ إِلا زَيْدٌ عَنْ حُمَيْدٍ . .

Maksudnya: Abdul Rahman bin Al-Fadhl telah menceritakan kepada kami bahwasanya Zaid telah menceritakan kepada kami daripada ‘Atho’ daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya bagi setiap perkara ada jantung (hati)nya sedangkan jantung (hati) Al-Qur’an adalah Yasin.”. Imam Al-Bazzar r.a. berkata: “Kami tidak mengetahui hadis ini diriwayatkan melainkan oleh Zaid daripada Humaid.” [Kasyf Al-Astar no: 2174]

Adapun Abdul Rahman bin Al-Fadhl, maka beliau dipercayai oleh Imam Ibn Hibban dan guru kepada Imam Ibn Khuzaimah. Adapun Zaid dalam riwayat tersebut, maka beliau adalah Zaid bin Al-Hubbab At-Tamimi, seorang ulama’ yang dipuji di sisi para pengkaji hadis. Imam Abu Hatim Ar-Razi sendiri berkata tentang beliau: صدوق صالح، ثقة عند جميعهم yang bermaksud: ((orang yang benar lagi soleh. Thiqah di sisi para ulama’ seluruhnya)). Rujuk Tahzib Al-Kamal dan sebagainya.

Adapun Humaid dalam periwayatan ini adalah Humaid Al-Makki, seorang perawi yang dinilai lemah oleh sebahagian ulama’. Imam Az-Zahabi menilai beliau sebagai Layyin. Namun, dalam Tahzib Al-Kamal, Imam Al-Bukhari r.a. menyebut bahawa Humaid Al-Makki ini diriwayatkan oleh Zaid tersebut dan hadisnya tidak kebanyakannya tidak mempunyai mutaba’ah (jalan periwayatan lain) atau bersifattafarrud (bersendirian dalam periwayatan hadis). Tetapi, bagi hadis Yasin sebagai jantung (hati) Al-Qur’an ini, riwayat Humaid Al-Makki tidak bersendirian kerana ada jalan periwayatan yang lain seperti hadis Anas r.a.. Hatta, Imam At-Tirmizi r.a. juga memberi isyarat dalam hadis Anas r.a. bahawasanya dalam bab ini ada hadis riwayat Abu Hurairah r.a..

Di samping itu juga, ada riwayat berbeza dengan hadis ini iaitu sebagaimana dikeluarkan oleh Al-Imam An-Nasa’ie dalam As-Sunan Al-Kubra dengan sanad yang majhul juga.

أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الأَعْلَى ، قَالَ : حَدَّثَنَا مُعْتَمِرٌ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ رَجُلٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ وَالدَّارَ الآخِرَةَ إِلا غُفِرَ لَهُ ، اقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ "

Maksudnya:

Muhammad bin Abdil ‘A’la mengkhabarkan kepada kami, bahawa beliau berkata, Mu’tamir menceritakan kepada kami daripada bapanya daripada seorang lelaki daripada bapanya daripada Ma’qil bin Yasar bahawasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dan Yasin adalah jantung Al-Qur’an. Tiadalah seseorang itu membacanya menginginkan Allah s.w.t. dan akhirat melainkan Allah s.w.t. mengampuninya. Maka, bacalah ia pada orang yang sedang mati”.

Hadis ini juga boleh dibahagikan kepada dua struktur lafaz iaitu:-

Struktur Lafaz Pertama:

وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ وَالدَّارَ الآخِرَةَ إِلا غُفِرَ لَهُ "

Maksudnya:

Dan Yasin adalah jantung Al-Qur’an. Tiadalah seseorang itu membacanya menginginkan Allah s.w.t. dan akhirat melainkan Allah s.w.t. mengampuninya.

Dan:

Struktur Lafaz Kedua:

اقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: Maka, bacalah ia pada orang yang sedang mati.

Adapun para ulama’ yang meriwayatkan hadis dengan lafaz kedua ini tanpa penambahan struktur lafaz pertama (Yasin adalah jantung Al-Qur’an) sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibn Kathir r.a. antaranya adalah:

ورواه أبو داود ، والنسائي في " اليوم والليلة " وابن ماجه من حديث عبد الله بن المبارك ، به إلا أن في رواية النسائي : عن أبي عثمان ، عن معقل بن يسار .

Maksudnya: Imam Abu Daud meriwayatkannya, begitu juga An-Nasa’ie dalam Al-Yaum wa Lailah dan Ibn Majah daripada hadis Abdullah bin Mubarak dengannya kecuali riwayat An-Nasa’ie daripada Abi Uthman daripada Ma’qil bin Yasar. [Tafsir Ibn Kathir]

Ia juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya.

Imam Ibn Kathir r.a. meriwayatkan

قال الإمام أحمد ، رحمه الله : حدثنا أبو المغيرة ، حدثنا صفوان قال : كان المشيخة يقولون : إذا قرئت - يعني يس - عند الميت خفف عنه بها .

Imam Ahmad r.a. berkata bahawasanya, Abu Al-Mughirah r.a. telah menceritakan kepada kami bahawasanya Safwan telah menceritakan kepada kami bahawasanya para sheikh (ulama’) berkata: jika dibacakannya –surah Yasin- di sisi seseorang yang sedang sakit mati, maka akan diringankan dengannya. [Tafsir Ibn Kathir]

Kita dapat simpulkan di sini bahawasanya, hadis dalam bab ini iaitu berkenaan “Yasin adalah jantung Al-Qur’an” mempunyai tiga bentuk utama periwayatannya.

Pertama:

Lafaz “Yasin adalah jantung Al-Qur’an” sahaja.

Antara yang meriwayatkannya adalah seperti Imam Ad-Daruqutni dalam Al-Fawaid Al-Mutaqah, Imam Ibn Qudamah dalam Al-Muntakhab Juzuk 10, Imam Abu Al-Husain Muhammad bin Al-Muhtadi billah dalam Masyikhah beliau, Imam Al-Bazzar dalam Al-Bahr Al-Zakhar bi Musnad Al-Bazzar (no: 7282), Imam Ibn Hajar Al-Asqolani dalam Al-Ittihaf, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (5: 273) dan sebagainya. Semuanya daripada Hadis Anas r.a. melalui jalan Harun Abu Muhamamd.

Kedua:

Lafaz “Yasin adalah jantung Al-Qur’an dengan penambahan lafaz: ““Sesiapa yang membacanya maka Allah s.w.t. akan menulis baginya dengan bacaannya tersebut, bacaan seluruh Al-Qur’an sebanyak sepuluh kali”

Antara yang meriwayatkannya adalah: Imam Ad-Darimi dalam Sunannya (no: 3416), Imam Al-Mizzi dalam Tahzib Al-Kamal ketika membincangkan tentang Harun Abu Muhammad, Imam As-Syihab dalamMusnadnya (no: 1035), Imam Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman (no: 2245), Imam Al-Jurjani dalam Al-Amali Al-Khamisiyyah, Imam Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (no: 24068) dan sebagainya. Semuanya daripada hadis Anas r.a. melalui Harun Abu Muhammad yang dinilai majhul.

Ketiga:

Lafaz: Dan Yasin adalah jantung Al-Qur’an… dengan penambahan: “Maka, bacalah ia pada orang yang sedang mati.”

Ia sebagaimana diriwayatkan oleh Imam An-Nasa’ie tadi. Begitu juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya, Imam At-Tabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (no: 16967) daripada hadis Ma’qil bin Yasar juga.

Fasal: Namun, ada juga nas-nas hadis yang menyebut lafaz-lafaz penambahan tersebut tanpa menyebut lafaz “Yasin adalah jantung Al-Qur’an”.

Pertama:

Lafaz: “Sesiapa yang membacanya maka Allah s.w.t. akan menulis baginya dengan bacaannya tersebut, bacaan seluruh Al-Qur’an sebanyak sepuluh kali” sahaja.

Hadis dengan bentuk ini dikeluarkan secara Mursal oleh Imam Al-Bazzar dan Sa’id bin Mansur r,a..

Imam Sa’id bin Mansur menyebut dalam tafsirnya:

ثنا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَيَّاشٍ ، عَنْ أُسَيْدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْخَثْعَمِيِّ ، عَنْ حَسَّانَ بْنِ عَطِيَّةَ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " مَنْ قَرَأَ يس ، فَكَأَنَّمَا قَرَأَ الْقُرْآنَ عَشْرَ مَرَّاتٍ " ، .

Imam Al-Baihaqi juga mengeluarkannya dalam Syu’ab Al-Iman (no:2244) dengan menyebut: هَذَا مُرْسَلٌ ((Mursal)).

Sanad hadis ini mengandungi perawi-perawi thiqah melainkan Hassan bin ‘Athiyyah meriwayatkannya secara Mursal iaitu tidak menyebut perantaraan antara beliau dengan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sedangkan beliau seorang tabi’in yang tidak pernah bertemu dengan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Pun begitu, beliau ialah seorang ulama’ thiqah di sisi Imam Ahmad dan sebagainya.

Walaupun kedudukan Mursal adalah dha’if di sisi kebanyakan ulama’, tetapi di sisi Imam Ahmad r.a. ada dua qaul dinisbahkan kepada beliau. Di sisi qaul kedua beliau yang dinilai sahih adalah Mursalboleh dijadikan hujah sebagaimana dinukilkan oleh Imam As-Suyuti dalam Tadrib Ar-Rawi (1/198) sedangkan Hassan bin Athiyyah adalah seorang ulama’ thiqah.

Dalam perbahasan Mursal ini, para ulama’ membahaskannya secara terperinci. Para ulama’ berselisih pendapat mengenai hukum meriwayatkannya. Ia samada boleh digunakan sebagai hujah ataupun ianya dinilai sebagai dha’if. Namun, Mursal para tabi’in yang thiqah tidak boleh dikatakan sebagaiMaudhu’ kerana Maudhu’ itu lebih rendah nilainya berbanding dha’if .

Kedua:

Lafaz: “Maka, bacalah ia pada si mati (sedang sakit untuk mati) dalam kalangan kamu..” sahaja.

Adapun hadis-hadis dengan lafaz tersebut, maka ianya diriwayatkan oleh ramai para ulama’ antaranya: Imam Ibn Abi Syaibah dalam Mushonnafnya (no: 10949), Imam Ahmad dalam Musnadnya (no: 19789 dan no: 19802), Imam Ibn Majah dalam Sunannya (no: 1448), Imam Abu Daud dalamSunannya (no: 3121), Imam Al-Mizzi dalam Tahzib Al-Kamal, Imam An-Nasa’ie dalam As-Sunan Al-Kubra (no: 10846), Imam Ibn Hibban dalam Sahihnya (no: 3002), Imam At-Tabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (no: 16940), Imam Abu Daud At-Thoyalisi dalam Musnadnya (no: 973), Imam Al-Hakim dalamAl-Mustadrak (no: 2006) dan sebagainya daripada hadis Ma’qil bin Yasar.

Hadis ini mempunyai jalan yang sahih dan kuat iaitu sebagaimana dikeluarkan oleh Imam An-Nasa’ie dalam As-Sunan Al-Kubra. Imam An-Nasa’ie menyebut dalam As-Sunan Al-Kubra, Kitab ‘Isyrah An-Nisa’, Abwab Al-Mula’ibah:-

أَخْبَرَنِي مَحْمُودُ بْنُ خَالِدٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ ، قَالَ : حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُبَارَكِ ، عَنْ سُلَيْمَانَ التَّيْمِيِّ ، عَنْ أَبِي عُثْمَانَ ، عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس

Maksudnya: Mahmud bin Khalid telah mengkhabarkan kepada saya bahawa beliau berkata: Al-Walid telah menceritakan kepada kami, lalu berkata: Abdullah bin Al-Mubarak telah menceritakan kepadaku daripada Sulaiman At-Taimi daripada Abi Uthman daripada Ma’qil bin Yasar bahawasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hendaklah kamu membaca ke atas si mati (orang yang sedang dalam sakit untuk meninggal dunia) dari kalangan kamu, surah Yasin”.

Hadis ini adalah antara hadis sahih dalam menceritakan kelebihan Surah Yasin. Ianya diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah. Adapun Mahmud bin Khalid, maka beliau adalah seorang ulama’ thiqah sebagaimana disebutkan oleh Imam An-Nasa’ie sendiri dan Imam Ibn Hibban (yang menyebut namanya dalam kitab At-Thiqat).

Begitu juga Al-Walid bin Muslim, seorang ulama’ hadis yang thiqah sebagaimana disebut dalam Tahzib Al-Kamal dan sebagainya. Begitu juga dengan Imam Abdullah bin Al-Mubarak r.a., seorang ulama’ hadis lagi sufi yang terkenal dan Sulaiman bin Thorkhan At-Taimi, seorang tokoh hadis yang dipuji oleh para ulama’ seperti Imam Ahmad, Imam Yahya bin Ma’in dan sebagainya. Adapun Abu Uthman tersebut, maka Imam Ibn Hibban menyebutnya dalam kitab At-Thiqat. Imam An-Nasa’ie, Imam Abu Daud dan Imam Ibn Majah meriwayatkan hadis-hadis dengan sanad beliau.

Adapun maksud kalimah Mautakum dalam hadis tersebut, maka Imam As-Sindi r.a. menjelaskan dalam syarahnya kepada Sunan Ibn Majah pada hadis ini:

قَوْلُهُ: ((عَلَى مَوْتَاكُمْ)) أَيْ عَلَى مَنْ حَضَرَهُ الْمَوْتُ أَوْ بَعْدَ الْمَوْتِ أَيْضًا

Maksudnya: “Dan sabda Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam: “((ke atas Mautakum)) iaitu kepada orang yang sedang dalam kehadiran maut (nazak) atau setelah meninggal dunia juga.”

Maka, hadis ini serendah-rendah nilainya adalah hadis hasan atau sebahagian ulama’ menilai hadis yang mempunyai sanad sebegini sebagai sahih walaupun tahap rendah.

Dengan sejumlah hadis-hadis serta jalan-jalan (sanad-sanad) riwayat hadis-hadis dalam bab ini, membuktikan hadis “Yasin sebagai jantung Al-Qur’an” boleh diriwayatkan samada ianya hanya berada di tahap dha’if ataupun hasan jika dinilai jalan-jalan lain sebagai penguat antara sesama mereka. Bahkan, wujud juga kemungkinan bahawasanya hadis-hadis ini sebenarnya adalah satu bentuk matan yang sama lalu diriwayatkan secara ringkas lalu dikeluarkan dalam kitab-kitab hadis sebahagian matannya sahaja. Walaubagaimanapun, tetap sahaja jalan-jalan (sanad-sanad) perbandingan tentang hadis dalam bab ini (Yasin adalah jantung Al-Qur’an) menunjukkan ianya diterima sebagai hadis dan disandarkan kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam walaupun dengan sanad yang lemah, kerana ianya dalam bab kelebihan-kelebihan sesuatu.

Dikatakan: “Hadis ini Maudhu’ (Palsu)”?

Sebahagian orang mendakwa hadis ini maudhu’ kerana merujuk kitab Al-‘Ilal susunan Al-Imam Ibn Abi Hatim r.a.. Dalam kitab tersebut, Ibn Abi Hatim menyebut:

وَسَأَلْتُ أَبِي عَنْ حَدِيثٍ رَوَاهُ قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ ، وَابْنُ أَبِي شَيْبَةَ ، عَنْ حُمَيْدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، عَنِ الْحَسَنِ بْنِ صَالِحٍ ، عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ ، عَنْ مُقَاتِلٍ ، عَنْ قَتَادَةَ ، عَنْ أَنَسٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس " وَمَنْ قَرَأَ كَذَا . قَالَ أَبِي : مُقَاتِلٌ هذا هو مُقَاتِلُ بْنُ سُلَيْمَانَ رَأَيْتُ هذا الحديث في أول كتاب وضعه مُقَاتِل بْن سُلَيْمَان وهو حديث باطل لا أصل له قلت لأبي : مُقَاتِل أدرك قَتَادَة قَالَ : وأكبر من قَتَادَة : أَبُو الزبير .

Maksudnya: “Saya bertanya kepada ayahku tentang hadis yang diriwayatkan oleh Qutaibah bin Sa’id dan Ibn Abi Syaibah daripada Humaid bin Abdil Rahman daripada Al-Hasan bin Sholeh daripada Harun Abi Muhammad daripada Muqotil daripada Qatadah daripada Anas r.a. daripada Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam yang bersabda: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati sedangkan jantung (hati) Al-Qur’an adalah Yasin”. Sesiapa yang membacanya begini…” Maka ayahandaku berkata: “Muqotil yang dimaksudkan adalah Muqotil bin Sulaiman. Saya melihat hadis ini pada awal kitab yang disusun oleh Muqotil bin Sulaiman sedangkan hadis ini Batil dan tiada asalnya.” Saya bertanya kepada ayah saya: “Muqotil ini sempat bertemu Qatadah?” Beliau menjawab: “Dan dia sendiri lebih tua berbanding Qatadah (Abu Az-Zubair).”

Muqotil bin Hayyan atau Muqotil bin Sulaiman?

Perkataan Abu Hatim kepada anaknya Ibn Abi Hatim ini perlu dinilai kerana jika benar hadis ini batil di sisi beliau, maka ianya bertentangan dengan pendirian ramai ulama’ sejak salaf sehinggalah khalaf yang mengganggap hadis ini sebagai hadis walaupun dengan sanad dha’if, tetapi tidak sampai ke tahap maudhu’ (palsu) atau batil.

Kita melihat betapa Imam At-Tirmizi r.a. sendiri meriwayatkan hadis ini dalam Al-Jami’e As-Sunan dan menilai ianya sebagai Hadis Gharib iaitu masih lagi sebuah hadis yang dinisbahkan kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam walaupun dengan sanad yang tidak kuat. Adapun ungkapan Abu Hatim bahawasanya hadis ini tiada asalnya juga menyalahi beberapa ulama’ besar yang mengeluarkan hadis ini seperti Imam At-Tirmizi, Imam Ad-Daruqutni, Imam Ibn Qudamah dalam Al-Muntakhab, Imam Al-Bazzar, Imam Ibn Hajar Al-Asqolani dalam Al-Ittihaf, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi, Imam Ad-Darimi dalam Sunannya, Imam Al-Mizzi, Imam As-Syihab, Imam Al-Baihaqi dan sebagainya.

Bahkan, hadis ini juga diriwayatkan oleh para imam tafsir yang besar dalam kitab-kitab tafsir mereka ketika menceritakan kelebihan Surah Yasin. Antara mereka adalah Imam Ibn Kathir, Imam Al-Qurtubi dalam Al-Jami’e li Ahkam Al-Qur’an, Imam Fakhruddin Al-Razi dalam at-Tafsir Al-Kabir, Imam As-Syaukani, Imam Ibn ‘Asyur dalam At-Tahrir wa At-Tanwir dan sebagainya yang mana mereka menisbahkan hadis ini kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam walaupun berbeza dalam menilai sanad-sanadnya.

Maka, saya yang faqir melihat semula perkataan Abu Hatim r.a. melalui riwayat anaknya dalam kitabAl-Ilal tersebut, lalu didapati ada beberapa persoalan. Menurut Imam Abu Hatim r.a., Muqotil yang dimaksudkan dalam sanad hadis ini adalah Muqotil bin Sulaiman r.a. sedangkan Muqotil dalam sanad hadis ini sebagaimana dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi r.a. dalam Al-Jami’e adalah Muqotil bin Hayyan r.a.. Penulis yang faqir cuba merujuk kitab-kitab Siyar dan Manaqib Ar-Rijal tentang Muqotil bin Sulaiman dan Muqotil bin Hayyan r.a..

Adapun Muqotil bin Hayyan jelas seorang tokoh hadis yang berbeza berbanding Muqotil bin Sulaiman yang merupakan ahli tafsir yang dikatakan terlibat dengan fahaman tajsim, sebagaimana menurut Imam Ibn Hibban dalam Kitab Al-Majruhin. Imam Az-Zahabi menyebut dalam kitab Siyar A’laam An-Nubala’ ketika menjelaskan tentang biografi Imam Muqotil bin Hayyan) dalam membezakan kedua-dua tokoh ini:

توفي في حدود الخمسين ومائة وعاش مقاتل بن سليمان المفسر الضعيف بعده أعواما.

Maksudnya: “Beliau (Muqatil bin Hayyan) meninggal dunia pada perbatasan tahun 150 hijrah sedangkan Muqotil bin Sulaiman yang merupakan seorang ahli tafsir yang dha’if hidup beberapa tahun setelah beliau”.

Ini menunjukkan Muqotil bin Hayyan adalah tokoh yang berbeza dengan Muqotil bin Sulaiman bahkan kedua-duanya walaupun hidup pada masa yang sama, tetapi meninggal dunia pada tahun yang berbeza. Ini menunjukkan kritikan Imam Abu Hatim terhadap hadis ini merujuk kepada kefahaman beliau bahawa Muqotil dalam sanad hadis ini adalah Muqotil bin Sulaiman sedangkan Muqotil dalam sanad hadis ini sebagaimana dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi adalah Muqotil bin Hayyan r.a..

Kesimpulan

Jadi, kita dapati, hadis “Yasin adalah jantung (hati) Al-Qur’an” tidak boleh dikatakan sebagai hadis palsu, bahkan jika dinilai dha’if sekalipun, tidak sampai ke tahap sangat dha’if. Maka, dengan ini, hadis-hadis ini boleh digunakan dalam menceritakan tentang kelebihan surah Yasin sebagaimana pendirian majoriti ulama’ hadis di mana mereka membenarkan periwayatan hadis dha’if dalam bab kelebihan-kelebihan sesuatu samada amalan dan sebagainya selagimana ianya tidak terlalu lemah dan tidak bertentangan dengan dalil-dalil yang lebih kuat.

Oleh itu, kita dapati ramai para ulama’ mensyarahkan hadis ini dan menisbahkannya kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Sheikh Al-Mubarakfuri sebagai contoh mensyarahkan hadis ini dalam kitabTuhfah Al-Ahwazi pada hadis riwayat Imam At-Tirmizi di atas, dengan berkata:

قَوْلُهُ )) وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس ((أَيْ لُبُّهُ وَخَالِصُهُ سُورَةُ يس . قَالَ الْغَزَالِيُّ : إِنَّ الْإِيمَانَ صِحَّتُهُ بِالِاعْتِرَافِ بِالْحَشْرِ وَالنَّشْرِ وَهُوَ مُقَرَّرٌ فِيهَا بِأَبْلَغِ وَجْهٍ فَكَانَتْ قَلْبَ الْقُرْآنِ لِذَلِكَ وَاسْتَحْسَنَهُ الْفَخْرُ الرَّازِيُّ . قَالَ الطِّيبِيُّ : إِنَّهُ لِاحْتِوَائِهَا مَعَ قِصَرِهَا عَلَى الْبَرَاهِينِ السَّاطِعَةِ وَالْآيَاتِ الْقَاطِعَةِ وَالْعُلُومِ الْمَكْنُونَةِ وَالْمَعَانِي الدَّقِيقَةِ وَالْمَوَاعِيدِ الْفَائِقَةِ وَالزَّوَاجِرِ الْبَالِغَةِ.

Maksudnya: Adapun sabda Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam: ((…dan jantung Al-Qur’an adalah yasin…)) iaitu intinya dan kesimpulannya adalah surah Yasin. Imam Al-Ghazali r.a. berkata: Sesungguhnya, Iman adalah kesihatannya adalah dengan mengakui tentang Al-Hasyr (hari kebangkitan), An-Nasyr (hari pembentangan amal) yang mana surah Yasin menetapkannya dengan bentuk yang sangat jelas. Maka, surah Yasin adalah jantung Al-Qur’an dengan sebab yang demikian”. Imam Fakhruddin Ar-Razi memandang baik penjelasan ini. Imam At-Tibbi berkata: “Sesungguhnya (surah yasin) adalah jantung Al-Qur’an kerana kandungannya yang mengandungi bukti-bukti nyata, tanda-tanda jelas, ilmu-ilmu kejadian alam, makna-makna yang terperinci, janji-janji yang akan berlaku serta peringatan yang berkesan, walau dengan keringkasannya.

Lihatlah betapa para imam seperti Imam Al-Ghazali r.a., Imam Fakhruddin Al-Razi dan Imam At-Tibbi mensyarahkan hadis, di mana ianya menunjukkan mereka berpegang dengan hadis ini. Begitu juga para ulama’ tafsir sebagaimana yang telah disebutkan tadi. Sangat berbeza antara orang yang meriwayatkan hadis dha’if dalam bab kelebihan-kelebihan sesuatu yang mana ianya dibenarkan oleh majoriti para ulama’ hadis, dengan orang yang meriwayatkan hadis maudhu’ secara sengaja yang mana dengan demikian dia telah berdusta ke atas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Hadis “Yasin adalah jantung Al-Qur’an” boleh diriwayatkan dalam Fadha’il (kelebihan-kelebihan) walaupun sanadnya dinilai dha’if, tetapi banyak sanad-sanad yang boleh menjadi sokongan di samping ianya (hadis pada bab ini) tidak sampai ke tahap maudhu’ (palsu).

Wallahu A’lam.

Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Latif
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi Al-Khafiy
25 Rejab 1432 Hijrah


DK

Post a Comment

Previous Post Next Post