Lif Menara Shanghai Terpantas Dunia



Perkhidmatan lif Menara Shanghai di China dilaporkan menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record baru-baru ini kerana kelajuannya yang luar biasa.

Mail Online melaporkan, lif tersebut dikatakan mampu berge­rak pada kelajuan hingga 69 kilometer sejam dan sampai ke puncak menara setinggi 632 meter itu dalam masa 53 saat.

Secara perbandingannya, lif tersebut jauh lebih laju daripada manusia terpantas di dunia ketika ini, Usain Bolt yang berlari pada kelajuan 44 kilometer sejam.

Pengiktirafan yang diberikan kepada perkhidmatan lif di Menara Shanghai itu juga membuktikan bahawa teknologi lif yang terdapat di Asia kini jauh lebih hebat berbanding tempat lain di dunia.

Data semasa turut menunjukkan, tujuh daripada sembilan perkhid­matan lif terpantas dunia terhadap di Asia.

Lebih menarik, empat daripadanya berada di China.

Pihak pengurusan Menara Shanghai seharusnya berte­rima kasih kepada kecekapan kumpulan juruteknik daripada syarikat perkakasan elektronik terkenal, Mitsubishi yang menyelenggara perkhidmatan lif terbabit.

Walaupun kelajuan perkhidmatan lif itu masih tidak dipe­rincikan sepenuhnya setakat ini, Mitsubishi dalam satu kenya­taan memberitahu, pengiktirafan yang dite­rima berikutan kejayaan tersebut diperoleh hasil kemajuan terkini.

“Ini termasuklah panel kawalan lif yang boleh memaksimakan cengkaman mesin ketika lif bergerak serta peningkatan tahap keselamatan termasuk pengehad kelajuan, brek dan alat penampan,” kata syarikat berkenaan.

INFO

Lokasi, Bangunan, Ketinggian, Kelajuan Lif

1. Shanghai, China Menara Shanghai 632 meter 69 kmj
2. Taipei, Taiwan Taipei 101 508 meter 61 kmj
3. Yokohama, Jepun Menara Yokohama Landmark 296 meter 45 kmj
4. Dubai, UAE Burj Khalifa 830 meter 35 kmj
5. Tokyo, Jepun Sunshine 60 Building 240 meter 35 kmj
6. Shanghai, China Pusat Kewangan Dunia Shanghai 492 meter 35 kmj
7. Beijing, China Menara Pusat Dagangan China III 330 meter 35 kmj
8. Chicago, AS Pusat John Hancock 457 meter 33 kmj
9. Shanghai, China Menara Jin Mao 421 meter 32 kmj

SUMBER : Utusan Malaysia

DK

Post a Comment

Previous Post Next Post