Bismillahir rahmanir rahim. Aduhai sahabat, ikhwan dan murid!
1. KERUGIAN
Allah SWT berfirman didalam Alquran, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, manusia itu adalah didalam kerugian,’
Manusia yang ‘mati’ hatinya akan tetap tinggal dalam kerugian, kebodohan, kemusyriqan dan kekufuran! Kesempurnaan ilmunya hanya merupa kejahilan akan Tuhannya. Anda harus mengakui bahawa anda tidak tahu sehingga Tuhan menurunkan Hidayah kepada anda! Andainya anda mengupayakan mendapat ilmu secara sendirian, diakhir perjalanan yang amat panjang, anda tetap akan keliru tentang matlamat sebenar diri anda. Diantara mencari dan menemui; adalah terlebih baik menemui dan mencari!
Sebenarnya, ada dua jalan yang terbentang. Satu yang benar, yang lainnya batil. Jalan yang batil ialah jalan manusia menuju Tuhan; sementara jalan yang benar adalah Jalan Tuhan kepada manusia!
Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
Manusia itu juga adalah dinobat sebagai Khalifah Allah, kendati pun, andai manusia itu mengetahui dan memahami RAHSIA disebalik ciptaannya; RAHSIA keberadaan dirinya; sosok RAHSIA hatinya [Qalbu] yang meyelubungi dimensi Ketuhanan; pastinya, setiap manusia itu akan diterjah kesedaran dan penyesalan tanpa hentian! Oh, dan juraian air mata akan mengiringi setiap helaan nafasnya!
Allah SWT berfirman didalam Alquran, bermaksud:
‘ Adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?!’
Allah juga berfirman didalam Hadith QudsiNya, bermaksud:
‘ Sesungguhnya , Insan itu adalah RahsiaKu, dan Aku adalah RahsiaNya.’
Nah! anda tidak perlu bertemu Usthum, warga Sulaiman, untuk menerbangkan Istana Balqis, namun, anda amat perlu menemukan seorang Pembimbing Rohani, melaluinya, anda akan dapat terbang menjulang, membumbung dan memuncak kehaderat Sang Maha Kekasih, Sang Maha Pencipta, Allah Azza Wajalla, sekaligus merongkai RAHSIA besar yang menyelimuti kewujudan anda!
Diatas keberhasilan tindakan ini sahajalah sebenarnya terletak keselamatan diri anda! Tidak ada lain daripadanya! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
2. PENCARIAN DAN TAUBAT
Setiap Muslim mukallaf adalah diwajibkan mengorak langkah sempena fitrahnya, bangkit dan membuat perjalanan mencari seorang pembimbing rohani atau Guru Mursyid [GM] bagi mengajar, membimbing dan menitipnya menjurus diatas jalan TarikatSufiyyah, sehingga sampai keHadrat Allah!
Pencarian GM ini janganlah disamakan dengan mencari guru-guru yang ajaran ilmunya bersifat ilmiah/akademik [empirik, book-learning, sekular dan duniawi] seperti yang terdapat diinstitusi-institusi pendidikan Negara; tetapi GM menuntun murid-muridnya kejalan ukhrawi dan kerohanian semata!
Menurut tokoh-tokoh tersohor TarikatTasawuf, seseorang harus mencari dan menemui seorang GM bagi memulakan perjalanan suluknya dengan melakukan upacara pertama dan yang terpenting, yakni, Taubat sebenarnya [Nasuha].Kerana Taubat adalah langkah pertama bagi menemui Allah!
3. CIRI-CIRI PENTING
Antara ciri-ciri terpenting yang harus dimiliki oleh GM adalah seperti berikut:
1. Sempurna Maqom kerohaniannya; yakni, berpengalaman luas dalam seluruh aspek kerohanian TarikatSufiyyah dan telah mencapai maqom kedekatan, keintiman,kesatuan dan kesempurnaan dengan Sifat Jalaal dan Jamaal Ketuhanan.
2. Beliau seharusnya seorang DOKTOR ROHANI [DR], mahir dalam selok-belok ‘perubatan’ bagi merawat serba-ragam penyakit rohani yang dihidapi oleh muridnya, yang dengan beliau itu murid mencari kesembuhan dan mendapat kesejahteraan diakhir perjalanan rohani serta pencariannya.
3. Sebaiknya, GM itu seorang yang ‘buta’; dan murid pun seorang yang ‘buta’ pula. GM itu ‘buta’ kerana tidak melihat yang selain Allah; dan murid pula ‘buta’ kerana tidak dapat melihat Allah!
Allah berfirman Q.S.9:119, bermaksud:
‘ Bergaullah bersama dengan orang-orang yang benar.’
Ayat diatas menggariskan kepentingan menyertai dan bergaul dalam lingkungan para Nabi diikuti oleh para Shaikh, kerana mereka, ‘orang-orang ‘alim dan Arifbillah adalah pewaris para Nabi dan Rasul’. Rasulullah bersabda, bermaksud: ‘Para Syaikh bersama jemaahnya adalah ibarat para Nabi bersama umatnya.’ Perkara ini amat nyata kebenarannya apabila manusia tidak lagi dapat akses atau merujuk kepada Nabi dan Rasul dizaman akhir-akhir ini!
Terlebih penting adalah Rahmat dan Hidayah dari Allah sendiri yang dianugerahkan kepada seorang untuk menerima petunjuk dan pimpinan, seperti FirmanNya,Q.S.42:52, bermaksud:
‘ Allah memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendakiNya.’
Tanggungjawab tugas ini disambut dan dipikul pula oleh para Syaikh, demi peranannya sebagai pewaris, penguasa atau timbalan para Nabi, seperti Firman Q.S.7:181, bermaksud:
‘ Antara mereka Kami telah menyedialan kumpulan yang membimbing dengan kebenaran.’
Dan lagi Q.S.42:52, bermaksud:
‘Sungguh, engkau benar-benar menunjuk/memimpin manusia kepada jalan yang benar.’
Cuba renungkan: Tiada siapa dapat menyangkal bahawa jalan menuju ‘Kaaba’ adalah terang lagi diketahui umum. Namun, tanpa seorang pemandu jalan, mahir dengan selok-belok, menuju kesana, perjalanan seseorang akan gagal menemui matlamatnya! Memiliki sepasang mata yang terang dan sepasang kaki yang berotot amat kuat bukanlah menjadi prasyarat atau jaminan! Bolehkah anda bayangkan kaedah perjalanan tersebut yang dengannya seramai 124,000 Nabi/Rasul telah lebih dahulu dari kita, melakukannya; namun, tiada pun terdapat sebarang tanda/isyarat yang ditinggalkan atau kelihatan kepada kita! Menakjubkan bukan? Yang pasti, perjalanan ini adalah amat mustahil dilaksanakan tanpa kehadiran seorang penunjuk atau pembimbing!
4. PERJALANAN ROHANI
Ingatlah, jika perjalanan zahir pun tidak menjamin keselamatan dari malapetaka rampokan dan lain-lain, apatah lagi perjalanan rohani yang mengundang lebih banyak dan serba-ragam petaka, seperti hawa nafsu, petaka dunia, syaitan iblis, akhlak buruk dsbnya; yang menjadi penghalang/hambatan kepada perjalanan tersebut.
Walaupun demikian, terdapat ramai cerdek-pandai, para intelek dan ahli dunia yang lebih percayakan kepada kemampuan dan ketokohan diri mereka sendiri dalam menggapai pengertian Agama menurut kuasa intelek mereka [baca: telahan, dugaan fikiran, guesswork, hawa nafsu] sahaja! Mereka meredah rimba demensi ghaib hanya dengan menggunakan kuasa intelek dan nafsu mereka; dan apa lagi, seringkali berkesudahan dengan kecundangan; malah kehilangan akidah keimanan!
Para intelek ini, setelah mendapat akses kepada hasil karya tokoh-tokoh Sufi seperti Syaikh Abdul Qadir al-Jailani, Maulana Jalaludin Rumi, Syaikhul-Akbar Ibn al-Arabi dll, mencuba, dengan daya intelek mereka, memahami mesej dan matlamat karya-karya agung itu diciptakan. Konon merasa puas pula bila menduga diri sendiri berjaya menerobos keintipati hakikat pengertian sesebuah karya tersebut; dan merasa megah, tenang dan damai pula dengan alunan dendangan bait-bait dan bicara kalimah hikmat dan keramat, ketika cuba mendekati dan menghayatinya! Itulah sebenarnya kelebihan dan nikmat anugerah Tuhan terhadap kelangsungan karya-karya tersebut, hasil dari para Arifbillah, Insan Kamil, insan paripurna kecintaan Tuhan, yang terus relevan kepada umat manusia akhir zaman, walau dalam kemelut diri serba-ragam, dalam kelana pencarian dan mengakhiri kemuncak pertemuan dengan al-Haqq Maha Pencipta!
5. TOKOH PEWARIS NABI SEBENAR
Harus digarisbawahi disini, para tokoh ilmuan tersohor tersebut adalah juga pengasas dan pengamal aliran TarikatSufiyyah masing-masing, aliran penyelamat umat, tokoh sebenar pewaris Nabi, yang tanpa melalui dan menuruti jejak langkah, jalan Tariqah dan Suluk mereka, bagi umat terakhir ini, segala bicara, hujah, dan polemik, adalah merupakan alasan, perasaan dan perasan; bagai angin lalu semata-mata. Noktah!
Anda hanyalah seekor semut;
Sedangkan perjalanan itu walau nikmat serba-warna, penuh liku-bahaya.
Awas, aduhai ikhwan, bertindak meraba penuh duga,
hanya kerana mendengar insan lain berbicara!
Namun, kedapatan puak yang dianugerahi Rahmat, terselamat dari petaka dan hambatan perjalanan yang kelihatan, maupun yang tersembunyi; beranjak maqom demi maqom, setelah mengawasi jebak diri sering menanti, melampaui ujian dan dugaan sehingga menggapai kedekatan kehaderat Tuhan! Semua keberhasilan adalah khusus dari barokah, kekuatan dan kekuasaan seorang Syaikh, melalui Tawajjuh Rohaninya, ta’alim, tazkirah dan tazkiyahnya, yang sentiasa mengawasi, melindungi, menitip dan memimpin para murid kedestinasi terakhirnya!
6. SARANAN DAN PENGAWASAN
Bingkas, rentas dan carilah seorang pemandu dan pembimbing, aduhai insan buta melata!
Khidmatnya lebih kau perlukan dari yang wujud segala.
Rendahkan sayap mu; hancur-leburkan segunung ego mu;
Agar pembimbingmu menjadi Rabitah dan Wasilah diqalbu;
Andai tidak demikian, wujudmu persis debu, ditiup angin lalu!
Seorang murid/salik, ketika melakukan perjalanan rohani[spiritual] ini harus melalui beberapa hal dan maqom [tingkat/darjat]. Disaat qalbu/roh simurid dicuci/sucibersihkan dari pakaian-pakain lazimnya sebelum ini, maka Cahaya Ketuhanan akan menyelinap masuk menyinar dan menerangi segenap ruang dan liang dalam dada dan kullujasad zahir batin simurid.Ketika itu enigma, misteri dan rahsia akan terbuka, wahyu-ilham sering menyapa, dan pelbagai keajaiban boleh berlaku tanpa arah dan iradah dari sesiapa!
Pengawasan seorang Syaikh amat kritis disaat murid dipertontonkan hakikat sesuatu, yang belum pernah dilihatnya; apalagi hakikat diri dan hakikat Tuhan yang serba mengeliru dan menghairankan, dalam dimensi yang mengajaibkan!
Pengawasan rapi dan pemahaman seorang Syaikh terhadap muridnya persis pemahaman seekor ayam jantan terhadap pengertian kokokan ayam jantan yang lain dalam lingkungannya!
‘Bagaimanakah engkau mampu memahami kokok-bicara ayam jantan;
Sedangkan engkau belum dan tidak pernah menemui Sulaiman?’
Andai tiada seorang Syaikh Arifbillah membantu murid tersebut, kegagalan adalah suatu kepastian!
7. KEISTIMEWAAN
Lazimnya seseorang yang berhasrat tinggi bagi mendapat perkenan diRaja dalam bentuk darjat dan kemuliaan, dan menikmati kebebasan keluar masuk dan bergerak didalam istana MahaRaja, terlebih dahulu perlu mendapatkan akses dari MahaRaja, sekurang-kurangnya melalui seorang kepercayaan MahaRaja, kerana tumpuan MahaRaja hanya terhadap orang kepercayaannya!
Dalam hubungan yang sama, barang siapa yang berupaya menambat dirinya kepada seorang Syaikh Guru Mursyid [Akrab Tuhan, Pemangku MahaRaja], akan dapat mencapai yang dihajatinya, kerana GM adalah wasilah bagi menggapai Tuhan. GM, melalui imbasan, kesucian, dan kejernihan Ma’rifatnya mampu menyingkap ragam seribu-satu rahsia dari Alquranul Majid dan Hadits Rasul, mentakwil dan menerapkan ilmu dan ilham wahyu keTuhanan yang berkait rapat dengan suluk tariqah seorang murid dan anjakan dan transformasi Qalbunya.
8. SUMPAH TAAT SETIA
Seorang murid, setelah melakukan sumpah ‘BAI’AT’ taat setia dengan GMnya, simboliknya dengan Allah SWT; setelah menyerahkan hal ehwal dirinya kepada seorang GM akan terus patuh dan memerhatikan segala urusan dirinya mendapat restu keizinan GM nya. Murid tidak boleh meninggalkan GMnya, berkepergian kemana pun tanpa izinnya, mengambil pembimbing lain atau bergaul dengan kumpulan yang tidak diredai GMnya. Apabila seorang murid memutuskan hubungan dengan GMnya bermakna ia juga telah memutuskan Hablum Minallahnya, yakni, memutuskan aliran taufik, hidayah dan rahmat dari Tuhannya! Menurut fahaman jumhurul Syaikh TarikatTasawuf, murid dianggap telah mengkufuri nikmat perjalanan suluknya, dan dikhawatiri tidak mendapat keselamatan walau seribu Syaikh lain mendoakannya!
Jika seorang murid itu menjuruskan kepatuhan tulus, ia akan menambat kasih GMnya, yang akan sentiasa menadah, menggamit, menagih dan meraih cintakasih Tuhan keatas muridnya. Kerana khidmat dan cintakasih seorang murid terhadap GMnya [simbolik Rasul Muhammad saw] adalah juga persembahan yang serupa terhadap Allah Azza Wajalla.
Allah berfirman,Q.S. al-Imran:31, bermaksud:
‘ Katakan [Ya Muhammad]: Jika kamu cinta kepada Allah, maka ikutilah akan daku, nescaya Allah cinta kepada kamu dan Dia ampunkan bagi kamu dosa-dosa kamu; kerana Allah itu maha Pengampun dan Penyayang.’
Sifat Jamaal [keindahan] seorang Syaikh yang telah Wasil [sampai] dan sempurna Maqomnya, akan terpancar dicermin Qalbunya. Apabila seorang murid yang benar, menyedari hakikat Sifat keindahan kerohanian dimiliki seorang Syaikh, ia akan merasakan sentuhan pengaruh tersebut menyentuhi hati dan jiwanya. Justeru, ia dapat merasakan didalam hatinya suatu kuasa gamitan, tarikan yang mencetuskan perasan kasih, lembut, tenang, damai, selamat, kekuatan dan azam bagi meneruskan mujahadah perjuangannya hingga keakhir. Selagi murid itu tidak merasa tulus, taat, hormat dan kasih kepada Syaikhnya, ia akan mendapati perjalanannya terumbang-ambing, tidak mencapai istiqomah, dan sering berdepan dengan musibah hijab dan pelbagai rintangan yang mengganggu perjalanannya. Ah, Tak kurang juga yang rebah dan tersingkir!
Perawakan rupa dan perwatakan seorang Syaikh itu jangan dijadikan suatu isu, selagi ia dan keberadaannya didalam Cintakasih Tuhan! Seperti difirmankan Allah, ‘ Wali-wali dan kekasihku adalah dibawah naunganKu. SelainKu, tiada siapa dapat mengenali mereka.’
Sememang mencari dan mendapatkan seorang GM yang menepati speks bertepatan adalah perkara yang sukar sekali jika tidak mustahil; terutama ditengah-tengah kehadiran bilangan ‘pendakwah-pendakawah’ diakhir zaman kini, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Sememang tidak mudah, kerana yang mudah adalah mencari penjual sayur [baca: Penjual Koyok, ‘ulama su’] yang boleh didapati dimana-mana!
‘Aduhai Qalbu, andai kau ingin menagih Cintakasih Sang Maha Kekasih;
Tersungkur sujudlah dan akur menuruti perintanNya;
Jika Dia Memerintah, ‘Perah airmata darah!’ Jangan ditanya, ‘Kenapa?’
Andai Dia Memaksa, ‘ Pertaruh nyawamu!’ Janganlah berdalih dengan protokol dan tatacara!’
9. NATIJAH
Dalam suluk kerohaniannya, seorang murid akan merasakan getaran dan gelora perubahan batin dirinya. Ibadahnya lebih tawadhuk dan mendalam. Lidahnya menyebut diiringi batin yang bergetar, dibukakan juga keadaan diri, kasyaf akan hakikat keimanan dan kedudukannya disisi Tuhan Allah Azza Wajalla.
Antara hijab-hijab atau krisis kerohanian yang seringkali merintangi murid dalam suluknya adalah seperti berikut:
Betapakah perlunya khidmat rawatan pakar seorang Guru Mursyid Arifbillah.
1. Hijab Nafsu. Pengaruh hawa nafsu rendah ini sering memerangkap murid hingga tenggelam dalam ehwal keduniaan.
2. Hijab cahaya. Sering meruntun murid untuk beribadah semata sehingga melupakan tanggungjawab lain yang ada.
3. Hijab maqom yang sering menenggelamkan murid dikala terpaan ilham kasyaf yang terlalu mengasyikkan.
4. Hijab hakikat sesuatu yang ketika dinyatakan boleh menghambat perhatian dan kesinambungan suluk seorang murid.
5. Hijab al-Hulul dan Ittihadi. Perbedaan dan pemahaman kedua-duanya yang halus dan boleh menjerumuskan seorang murid kedalam rimba kecelaruan dengan menyangka dirinya adalah jelmaan Tuhan [God-incarnate], atau Tuhan itu sendiri!
Kerana Tuhan tetap Tuhan; dan hamba tetap hamba selayaknya! Fahamkan benar-benar!
Selagi murid tersebut tidak terjebak dengan hijab diri dan tidak terjauh dari kedekatan Tuhan [Qurb], keimanan, yaqin dan kemaafan/keampunan [maghfirah] Tuhan akan diperoleh murid semaunya!
Kerana Dia adalah Tuhan yang boleh mengurniakan betapa hebat anugerah kepada seluruh semesta raya, dengan kehendakNya! ‘ Adakah sesiapa yang ingin mengadu?’ ‘Adakah sesiapa yang ingin menemukan?’ ‘Dimanakah orang-orang yang inginkan pengampunan?’ ‘ Pohonlah kepadaKu; kerana Kemurahan ku tiada batasan!’
‘Aku perintahkan kamu untuk memohon, jika tidak, Aku hukumkan kamu sebagai golongan yang lalai; demi kemurahan pemberianKu walau kepada siapa yang tidak pun meminta!’
Walau tanpa dipinta Dia Maha Pemberi;
Andai anda memohon, bayangkan pemberianNya;
Dia MahaRaja segala Raja, jika menghendaki;
Dia mampu terhadap pengemis melata, menganugerahi dua dunia!
Aduhai ikhwan! Kesemua ini diperoleh dari khazanah perbendaharaan Tuhan Maha Kaya. Kurniaan rahmatNya tanpa syarat. Hanya manusia sering meletakkan tuntutan dan syarat setelah melaksanakan sesuatu kebajikan, walau suatu trivia,sehalus debu!
Andainya anda telah mendapat Hidayah dan Rahmat Allah; andainya anda telah mendapat Syafa’at Rasul dan Barokah khidmat dari Syaikh Mursyid mu, dalam menyelami dan merentasi samudera Ma’rifatullah, maka anda wajiblah bersyukur semaunya, kerana anda adalah antara yang terpilih, dinaungi dalam wilayah nikmat, keramat, damai, selamat, langgeng dan abadi!
JUSTERU:
Andai anda berada didalam Bahtera Nuh;
Andai anda berada didalam perut Ikan Nun dilaut dalam, bersama Yunus;
Andai anda berada didasar Laut Merah bersama Musa;
Anda tidak perlu tahu kifiat berenang!
‘Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia Menunjuki Tariqah/jalan yang lurus.’
WABILLA HITTAUFIQ WAL HIDAYAH.
LIHAT VIDEO :
Hakikat Mursyid / Murobbi
https://youtu.be/j4G1EWCwOgE?t=3546
https://youtu.be/uorknSalCsM?t=1210
Hakikat Mursyid / Murobbi
https://youtu.be/j4G1EWCwOgE?t=3546
https://youtu.be/uorknSalCsM?t=1210