Orang Turki Kecek Kelate



Kepetahan pemuda yang berasal dari Istanbul, Turki, Fatih Imamoglu, 25, atau lebih dikenali sebagai Mat Daud, bertutur menggunakan dialek Kelantan menjadikan dia cukup terkenal dalam kalangan rakyat negeri ini.

Selain petah bertutur dialek Kelantan, pakej lengkap yang dimiliki Mat Daud menyebabkan dia turut dilamar menjadi model dan jurucakap untuk produk-produk kecantikan.

Mana tidaknya, video pendek yang memaparkan kepetahan Fatih atau lebih dikenali sebagai Mat Daud menjadi viral di media sosial sehingga menyebabkan lelaki berkulit putih itu terkenal dalam sekelip mata.

Mat Daud berkata, dia terkejut dengan perkara itu sehingga menyebabkan kehidupannya kini berubah dalam sekelip mata.

“Setiap kali keluar, ada sahaja orang akan panggil saya untuk bergambar atau berswafoto dan ini merupakan satu pengalaman baru. Bukan itu sahaja, saya turut dilamar menjadi model dan jurucakap untuk produk-produk kecantikan,” katanya.

Menurutnya, terbaharu dia membintangi sebuah telemovie berjudul Mek Mu Weii terbitan Kelantan Crevite TV (KCTV) yang berpangkalan di Kota Bharu.

Katanya, telemovie tersebut menggunakan 100 peratus loghat Kelantan dan secara tidak langsung menguji kebolehannya bertutur.


Mat Daud berkata, dia selesa dengan situasi itu dan menganggap ia sebagai ‘rezeki terpijak’ buat dirinya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia belajar Bahasa Melayu dan loghat Kelantan selama setahun selepas menjejakkan kaki ke negeri ini pada 2009.

Katanya, ketika itu. dia berusia 16 tahun dan berkunjung ke Malaysia kerana mengikut keluarga yang menjalankan perniagaan pakaian di negeri ini.

“Saya buat buku sendiri dan tulis semua loghat Kelantan yang dituturkan, kemudian terjemah kepada Bahasa Inggeris serta Bahasa Melayu untuk mudahkan pertuturan. Bila tak tahu, saya tanya rakan. Saya juga mengikuti pengajian Bahasa Melayu secara formal dan sentiasa melatih diri dengan bertutur menggunakan loghat Kelantan,” katanya.

Mat Daud berkata, dia tertarik dengan Kelantan disebabkan oleh rakyatnya yang cukup peramah serta kaya dengan budi bahasa.

Katanya, walaupun semua ahli keluarganya sudah pulang ke Turki, namun dia masih memilih untuk menetap di sini selepas terpesona dengan keunikan Kelantan.

“Saya tidak menolak untuk menjadi sebahagian daripada penduduk tempatan kerana keenakan makanan, budaya dan kemesraan orangnya,” katanya.


Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan


0 Sahabat Setia Blog Yang Baik Ini Telah Menulis Untuk "Orang Turki Kecek Kelate"

 
Copyright © 2014 Datoksir Kronik - All Rights Reserved
Template By. Nyut Nyut