Djeugoue (kanan) bakal memperkuatkan benteng pertahanan Kelantan pada saingan Liga-M musim ini.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan rundingan membawa masuk tiga pemain import bagi memperkuatkan cabaran The Red Warriors bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017 berjaya diselesaikan.
Perkara tersebut diumumkan Penaja Utama The Red Warriors, Tan Sri Annuar Musa, menerusi laman sosialnya hari ini, dengan memberitahu rundingan melibatkan terma kontrak tiga pemain itu mencapai persetujuan dengan kelab asal mereka.
Menurutnya, bekas pemain skuad Piala Dunia Cameroon, Cedric Djeugoue, Okikiola Afolabi dari Nigeria selain bekas penyerang import Kelantan musim 2012 dan 2014, Mohammed Ghaddar (Lubnan) akan menyertai skuad pantai timur itu.
“Saya dan redOne Network Sdn Bhd (penaja utama) bersedia membawa mereka dengan tiga syarat, iaitu pertama dipersetujui ketua jurulatih (Zahasmi Ismail) dan wajib lulus ujian kecergasan yang ketat di bawah kelolaan jurulatih kecergasan.
“Selain itu, ketiga-tiga pemain berkenaan juga diwajibkan lulus ujian kesihatan yang ketat (sebelum menyertai Kelantan),” katanya ringkas menerusi entri berkenaan.
Djeugoue, 24, selaku pemain pertahanan beraksi bersama Coton Sport FC dalam Liga Elit Cameroon, Afolabi, kali terakhir menyarung jersi kelab Talleres de Cordoba dalam Liga Primera Argentina, manakala Mohammed Ghaddar pula pernah menyarung jersi Al-Faisaly SC di Liga Jordan, musim lalu.
Djeugoue, 24, membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa pada 2013 sebelum dipanggil jurulatih berasal dari Jerman, Volker Finke bagi memperkukuhkan benteng skuad Les Lions Indomptables dalam kempen Piala Dunia 2014 di Brazil.
Sementara itu, Afolabi, penyerang yang baharu berusia 22 tahun memulakan karier dengan mewakili Sunshine Stars FC selama empat musim (2013 - 2016) dan kali terakhir menyarung jersi kelab Talleres de Cordoba dalam Liga Utama Argentina.
Kedua-dua pemain itu dikatakan dibawa masuk oleh ejen pemain yang tidak asing lagi dalam kalangan penyokong Kelantan iaitu Marcelo Houseman yang turut bertanggungjawab memperkenalkan Erwin Carrillo (Colombia) dan Austin Amutu (Nigeria) kepada pasukan itu, dua tahun lalu.
Kelantan bakal mengharungi tiga aksi persahabatan menentang pasukan Liga Premier iaitu MISC Mifa pada petang esok; UiTM FC (11 Januari) dan terakhir pada 13 Januari ini melawan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mohammed Ghaddar memang tidak asing lagi kerana pernah mewakili Kelantan pada musim 2012. Namun pada 2014 dia terpaksa digugurkan akibat masalah disiplin. Dia merupakan penjaring terbanyak pasukan pada 2012, dengan menjaringkan 21 gol dalam 32 penampilan,” ujarnya.
Tags
Sukan