Dikukus selama 20 minit dengan api dan kuantiti air yang dikawal.
Tak sampai seminggu memasuki pasaran Kelantan, pau ayam panggang laris dijual di tepi Jalan Dato Lundang, di sini.
Peniaga pau berkenaan, Ahmad Azim Afiq Yusoff, 30, berkata, permintaan tinggi berlaku secara mendadak sejak dia mula memperkenalkan pau ayam panggang ke negeri ini pada 1 Januari lalu menyebabkannya terpaksa mengehadkan kuantiti yang dijual kepada pelanggan pada satu-satu masa.
“Setakat ini, saya terpaksa hadkan jualan hanya sekitar 150 biji sahaja sehari. Langkah ini diambil bagi mengelakkan daripada terputus bekalan. Setiap pelanggan pula hanya boleh beli satu hingga 10 biji pau sahaja setiap seorang dengan tujuan memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan yang dapat merasai keenakannya.
“Terlalu ramai pelanggan yang datang ke gerai ni untuk mendapatkan pau ayam panggang yang berharga RM3.80 sebiji tersebut kerana rasanya yang sangat enak dan tekstur yang gebu,” katanya ketika di temui di gerainya.
Menurutnya, tindakan mengehadkan kuantiti jualan itu bukanlah untuk jangka masa yang panjang, sebaliknya hanyalah buat sementara waktu sahaja sehinggalah bekalan yang diperoleh daripada pembekal mencukupi bagi menampung permintaan peminat pau ayam panggang di negeri ini.
“Pau ini adalah di bawah jenama Original Pau Cendawan Viral Puchong yang diambil daripada pembekal di Puchong, Selangor. Buat masa sekarang, terdapat cawangan di Kota Bharu dan satu lagi di Kuala Krai.
“Selain dihidangkan dengan rasa luarannya yang gebu dan lazat, pau ayam panggang ini turut mewah dengan inti daging dan ayam serta lada hitam yang diisi penuh di dalam setiap pau,” katanya.
Beliau berkata, cuaca sejuk musim hujan dan bah yang melanda di negeri ini sejak beberapa hari lalu turut membantu merancakkan lagi permintaan terhadap penjualan pau unik yang diusahakan bersama-sama adik bongsunya, Ahmad Anwar, 22, serta dibantu ibu, Che Rokiah Che Daud, 55.
“Dulu saya bekerja sebagai mekanik dan membuat keputusan untuk berhenti serta fokus kepada perniagaan pau. Perniagaan saya bermula pada jam 3.30 petang dan tamat pada jam 9.30 malam, pada setiap hari.
“Selain pau ayam panggang, saya juga menjual pau cendawan yang berintikan cendawan segar, sos carbonara, daging, ayam dan keju yang dijual dengan harga RM3.50 sebiji. Pau ini juga ada dijual secara sejuk beku dengan harga tiga biji RM10,” katanya.
Seorang pelanggan yang ditemui, Nor Afiqah Md Nor berkata, dia datang ke gerai pau berkenaan selepas mula dibuka tiga bulan lalu dan selalu berkunjung ke gerai tersebut untuk menikmati pau cendawan serta pau ayam panggang yang dijual.
“Bentuk kedua-dua pau ini sangat comel dan keunikan itu berjaya menarik perhatian pelanggan, lebih-lebih lagi pau yang berbentuk ayam panggang.
“Sekali pandang macam ayam, tetapi sebenarnya pau. Harganya pula berpatutan dengan rasanya yang sedap serta saiz yang besar,” katanya.