Media Sosial Bukan Tempat Pamer Kemesraan



Media sosial ketika ini cukup akrab dengan kehidupan kita. Segala-galanya tentang kehidupan termasuk rumah tangga dikongsi di laman ini.

Makan bersama pasangan, bercuti, shopping, hadiah, malah sekadar berlunjur kaki di rumah dengan suami pun dimuat naik untuk pengetahuan rakan-rakan. Tujuannya? Hanya anda yang tahu.

Tapi jika ada yang melakukannya kerana mahu orang lain tahu anda pasangan bahagia ternyata itu satu kesilapan. Kenapa? Sebab pasangan bahagia tidak akan atau jarang sekali mempamerkan kemesraan dan kebahagiaan mereka di media sosial. Ini kerana pada mereka:

1. Bahagia itu untuk dirasa bukan dipamer

Ketika meraikan waktu gembira bersama pasangan, mereka mahu menikmatinya bukan diganggu dengan rakaman demi rakaman gambar atau lakonan selfie untuk dimuat naik di media sosial.

Jika ada pun foto yang diambil ia untuk tatapan peribadi bukan untuk dikongsi dan sekiranya memuat naik gambar waktu sebegini ia sekadar yang bersifat umum, bukan untuk mempamer kemesraan.

2. Perasaan bahagia itu bersifat peribadi

Pasangan yang benar-benar bahagia dalam perhubungan tidak berminat untuk menunjuk atau membuktikan mereka bahagia pada orang lain.

Pada mereka perasaan bahagia itu bersifat peribadi. Jadi tak perlu membuang masa untuk menunjukkannya kepada orang lain.

3. Mereka faham bahawa setiap pasangan itu bahagia dengan cara berbeza

Kebahagiaan sejati akan menjadikan seseorang lebih rendah diri dan menghayati maknanya. Mereka faham bahawa setiap pasangan itu bahagia dengan caranya sendiri. Apa yang buat kita bahagia, belum tentu buat orang lain bahagia jadi untuk apa ia dicanang?

4. Tak perlu bangga dengan kebahagiaan yang dimiliki

Setiap orang punya masalah dan ujian hidup yang berbeza. Kita mungkin bahagia tapi pasangan lain mungkin sedang berduka jadi tak perlu bangga dengan kebahagiaan yang dikecapi ini. Tak guna membanding-bandingkan hidup kita dengan orang lain atau merasakan kehidupan kita lebih baik dari mereka.

Apa pendapat anda? Setuju tak bahawa kebahagiaan itu bukan untuk dipamer atau anda punya sudut pandang berbeza dalam hal ini.



DK

Post a Comment

Previous Post Next Post