Perkara Yang Ramai Orang Tak Tahu Pasal Nabi Khidir



Pendahuluan

Manusia merupakan makhluk yang beruntung kerana Allah s.w.t telah menganugerahkan ilmuNYA secara langsung sehingga manusia dapat mengetahui sesuatu perkara. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 32 :



Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Huraian daripada ayat ini, makhluk Allah seperti malaikat yang mengaku diri mereka sebagai makhluk yang sentiasa bertasbih dengan memuji Allah dan mensucikannya, tidak diberi ilmu seperti manusia.Ayat di atas merupakan pengakuan daripada malaikat. Atas alasan inilah Allah s.w.t akan mengangkat darjat manusia yang berilmu. Seperti firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 :


“Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan”.

Allah s.w.t telah memberi penghormatan kepada manusia untuk menjaga alam dan menjadi khalifah di bumi ini.oleh kerana itu, setiap manusia memerlukan ilmu untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dengan penguasaan ilmu yang diberikan oleh Allah s.w.t, manusia dapat memahami hakikat dirinya, hakikat diciptakan alam semesta dan hakikiat kehadirannya di dunia ini.Allah s.w.t juga telah memberikan ilmu kepada setiap manusia mengikut kemampuan manusia tersebut. Seseorang manusia tidak akan dibebani dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya. Allah s.w.t Maha Mengetahui setiap yang tersurat.

Atikel kali ini, penulis ingin membongkar rahsia dan kisah seorang nabi yang sering menjadi tanda tanya kepada setiap muslim. Adakah nabi ini masih hidup atau sedah meninggal dunia atau dia hilang tanpa disedari?Apakah ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada beliau hingga Nabi Musa mencarinya untuk menuntut ilmu?Adakah dia benar-benar seorang nabi atau hanya wali Allah s.w.t? Nabi yang dimaksudkan ialah Nabi Khidir a.s.

Latar Belakang

Nama sebenar Nabi Khidir a.s ialah Balya bin Malkan bin Faligh bin ‘Abir bin Salikh bin Arfakhsad bin Sam bin Nuh. Urutan nama ini adalah berasaskan daripada pendapat Ibnu Abbas. Manakala menurut pendapat Ibnu Ishak pula, Nabi Khidir adalah putera Al-‘Ish bin Ishak bin Ibrahim al-Khalil.Ada juga pendapat yang mendakwa Nabi khidir adalah putera Fir’aun.Dakwaan ini adalah pendapat daripada an-Naqhasy.Akan tetapi, menurut Al-Thabari, pendapat an-Naqhasy ini adalah palsu.Begitu juga dengan pendapat beberapa ulama yang lain, mengatakan bahawa Nabi Khidir ialah Alyasa’ iaitu teman Ilyas.Pendapat ini juga adalah palsu. Sementara itu, menurut Abu al-Qasim Abdullah bin Hasan al-Khats’ami dalam kita at-Ta’rif menyatakan bahawa Nabi Khidir adalah seorang putera raja yang bernama ‘Amiyal. Raja ini merupakan putera dari Al-‘Ish ibnu Ishak.Ibunya ialah Alha, seorang puteri raja bernama Faris (Fuadi, 2009).

Terdapat pelbagai pendapat mengenai nama Nabi Khidir, dalam sebuah karya yang berjudul Ensiklopedia Tasawuf Imam al-Ghazali menyatakan bahawa Nabi Khidir mempunyai 3 jenis nama iaitu nama sebenar, nama panggilan dan nama samara. Dinyatakan dalam karya tersebut, nama sebenar Nabi Khidir ialah Balya bin Balkan bin Falakh bin Anbar bin Syalakh bin Arfakhsyadz bin Sam bin Nuh a.s bin Lamak bin Mutawasylikh bin Idris a.s bin Yard bin Mahlail bin Qainan bin Yanasy bin Syits bin Adam a.s. Manakala nama panggilannya pula ialah Abul Abbas dan nama samarannya ialah Khidir atau Khadir (M.Abdul Mujieb, 2009)

M.Abdul Mujieb, 2009 dalam karyanya turut menyatakan bahawa Nabi Khidir merupakan putera seorang raja Persia yang bernama Balkan.Ibunya pula bernama Alha binti Faris, merupakan seorang wanita bangsawan keturunan Persia dari ibu Iskandar Zulqurnain.Ibu Nabi Khidir merupakan seorang wanita yang suka mengembara walaupun ketika hamil.Oleh sebab itulah Nabi Khidir telah dilahirkan dalam gua di sebuah bukit.Setelah Nabi Khidir dilahirkan, ibunya telah melarikan diri daripada penyamun dengan membawanya bersama.Namun ada riwayat menyatakan ibunya telah dibunuh kemudian seorang pengembala telah menemui Nabi Khidir dan dia dipelihara oleh pengembala tersebut hingga dewasa.

Menurut M.Alwi Fuadi, dalam bukunya yang berjudul Jaminan Sosial Nelayan, Nabi Khidir telah dilahirkan di sebuah gua. Ibunya memberikan susu segar kambing setiap hari ketika Khidir masih bayi. Kemudian Khidir telah diserahkan kepada seorang pengembala untuk dijaga dan dididik hingga dewasa.Khidir merupakan seorang yang cerdas dan bijak dalam bidang menulis dan membaca lembaran-lembaran yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim a.s (Fuadi, 2009).Terdapat pelbagai riwayat dan cerita mengenai kelahiran Nabi Khidir a.s.

Setelah Nabi Khidir meningkat dewasa, beliau telah menemui ayahnya dan mereka tinggal bersama.Apabila ayahnya merasakan anaknya cukup dewasa, maka diperintahkan anaknya untuk mengahwini seorang wanita yang bernama Fannah.Namun Nabi Khidir enggan mengahwini Fannah dan mengambil keputusan untuk meninggalkan istana.Ayahnya terkejut dengan tindakan anaknya dan memerintahkan orang suruhan untuk mencari Nabi Khidir.Namun kelibat Nabi Khidir tidak berjaya ditemui.Akhirnya Fannah telah dinikahkan dengan Hizqil dan dikurniakan 3 orang cahaya mata.Fannah ialah Masyitah iaitu tukang sikat rambut puteri Firaun (M.Abdul Mujieb, 2009).

Sebelum Nabi Khidir meningkat dewasa, bapanya amat menitikberatkan urusan pendidikan anaknya itu.bapanya telah menyerahkan Nabi Khidir kepada seorang guru. Namun Nabi Khidir tidak menunjukkan minat kepada guru tersebut.Rumah guru tersebut terletak tidak jauh dari istana iaitu kediaman Nabi Khidir bersama bapanya.Di antara istana dan rumah guru tersebut terdapat sebuah rumah ahli ibadah.Tingkah laku dan keperibadian ahli ibadah tersebut telah menarik minat Nabi Khidir untuk mendekatinya.Akhirnya Nabi Khidir telah memilih ahli ibadah tersebut sebagai gurunya.Nabi Khidir amat rajin menghadiri rumah ahli ibadah dan menyertai majlis ilmu yang diadakan (Fuadi, 2009).

Manakala guru yang diperkenalkan oleh bapa Nabi Khidir beranggapan bahawa Nabi Khidir berada di istana ketika dia tidak hadir ke rumahnya.Dan bapa Nabi Khidir pula beranggapan anaknya berada di rumah guru tersebut ketika anaknya tidak ada di istana.Walhal, anaknya itu sering berada di rumah ahli ibadah yang menjadi pilihannya untuk menuntut ilmu.Keadaan seperti ini berlarutan hingga Nabi Khidir meningkat dewasa. Nabi Khidir merupakan seorang yang bijak, beliau dapat menguasai semua ilmu yang diajar dan cara ibadah yang telah diajar oleh ahli ibadah tersebut (Fuadi, 2009)

Ternyata kecenderungan Nabi Khidir ialah urusan yang melibatkan kekuatan rohani dan bukan hal yang melibatkan duniawi.Hal ini dapat dibuktikan dengan kisah yang telah dinyatakan dalam perenggan sebelum ini, yang mana Nabi Khidir lebih berminat untuk menuntut ilmu dengan ahli ibadah dan bukan dengan guru yang diperkenalkan oleh bapanya.Ini membuktikan lagi bahawa, kecantikan dan kesucian peribadi seseorang mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam menarik minat seseorang.Tingkah laku dan peribadi mulia yang ditunjukkan ahli ibadah tersebut berjaya menarik minat Nabi Khidir untuk menuntut ilmu.

Keistimewaan Nabi Khidir

Nabi Khidir merupakan seorang insan istimewa, beliau telah dianugerahkan pelbagai keistimewaan oleh Allah s.w.t. Antara keistimewaan yang dimiliki oleh beliau ialah :
Hidup sepanjang zaman hingga munculnya Dajjal

Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa Nabi khidir hidup sepanjang zaman hingga munculnya Dajjal.Antara faktor yang menyebabkan beliau hidup sepanjang zaman ialah beliau telah minum ma al-hayat (air kehidupan).Menurut riwayat Ibnu Asakir. Pada zaman dahulu ada seorang raja muslim yang soleh dan bijak bernama Zulkarnain. Beliau mempunyai seorang sahabat yang rapat dari kalangan malaikat bernama Rafail. Zulkarnain menyatakan hasratnya kepada sahabatnya, beliau ingin hidup lama dan memperoleh umur yang panjang agar dapat beribadat dengan sempurna (M.Abdul Mujieb, 2009)

Rafail kagum dengan keinginan Zulkarnain, lalu Rafail memberitahu kepada Zulkarnain bahawa di bumi Allah ini ada satu sumur yang disebut ­ma Al-hayat.Orang yang pernah meminum airnya walaupun sedikit akan hidup sampai hari kiamat, kecuali jika ia sendiri memohon agar dimatikan oleh Allah s.w.t. Namun lokasi sumur itu tidak dapat diberitahu oleh Rafail kerana dia sendiri sama sekali tidak mengetahui lokasi sumur itu (M.Abdul Mujieb, 2009)

Zulkranain segera mengumpulkan ulama dan pakar sejarah untuk menanyakan lokasi sumur itu.malangnya tidak seorang pun diantara mereka mengetahui lakosi sumur tersebut. Akan tetapi, ada diantara mereka menyatakan berdasarkan buku wasiat Adam bahawa sumur tersebut terletak di mathlausy-Syamsi (tempat matahari terbit di daerah timur dunia).Zulkarnain segera berangkat ke lokasi tersebut bersama dengan 6000 pengikutnya.Pada suatu hari rombongan Zulkarnain tiba di kawasan tersebut setelah 12 tahun perjalanan.Malangnya tempat itu gelap dan tidak ada seorang pun yang menemui sumur itu kecuali Nabi Khidir. Apabila Nabi Khidir menemui sumur itu, beliau mandi, berwudhuk dan meminum airnya (M.Abdul Mujieb, 2009)

Mempunyai ilmu laduni

Nabi Khidir mempunyai ilmu laduni yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t secra langsung kepada beliau tanpa usaha, perantara dan guru. Seperti yang terkandung dalam surah al-Kahfi, ayat 65 :


“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami Yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi kami.”

Walaupun dalam ayat tersebut tidak dinyatakan nama nabi Khidir. Namun ramai ulama tafsir bersepakat bahawa hamba yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah Nabi Khidir a.s.

Fizikalnya tidak dapat dilihat oleh manusia biasa

Fizikal Nabi Khidir juga tidak dapat dilihat oleh orang kebanyakkan dan orang biasa, hanya manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t sahaja akan dapat melihat fizikal Nabi Khidir dengan izin Allah s.w.t.

Pakaiannya sentiasa baru dan bersih

Menurut Imam Asy-Syarani, dalam kitab yang berjudul Al-Mizan Ash-Shaghir, pakaian Nabi Khidir sama sekali tidak akan rosak. Ini adalah keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t sebagai tanda bahawa Nabi Khidir bersih dari maksiat.

Boleh berjalan sepantas kilat

Nabi Khidir boleh bergerak kemana sahaja sepantas kilat.Oleh sebab itu, beliau boleh mengelilingi dunia dan bersolat secara berpindah-randah.

Boleh berubah rupa

Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mengatakan bahawa Nabi Khidir boleh berubah rupa di beberapa tempat yang berbeza untuk menguji seseorang yang dikehendakinya.Hal ini dikuatkan lagi oleh Syaikh Hasyisi al-Himshani dalam Jami Al-Karamat yang pernah berkumpul berkali-kali dengan Nabi Khidir yang wujud dengan keadaan yang berbeza-beza.

Setiap yang dipijak akan bertukar menjadi warna hijau

Kisah ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“Gelaran Khidir diberikan kerana setiap duduk di atas tanah yang kering, tanah itu berubah hijau dan ditumbuhi rumput”. Para Mujahid berpendapat bahawa beliau disebut Khidir adalah kerana dimana tempat beliau solat makan akan hijaulah tanah yang megelilinginya. Syeikh Mustafa Al-Uqbawi dalam Hasyiyah Aqidah Ad-Dardiri berkata bahawa beliau diberikan gelaran Khidir kerana apabila duduk di atas tanah yang kering maka saat itu juga tanah dan sekitarnya menjdai hijau atau kerana kebiasaanya beliau duduk di atas sejadah hijau. Menurut Imam Tsalabi, apabila beliau melangkahkan kakinya, maka akan tumbuh rumput hijau di bawah tapak kakinya.

Enggan bertemu dengan orang yang berhati kotor dan buruk akhlaknya

Ali al-Khawwash mengatakan bahawa untuk bertemu dengan nabi Khidir a.s seseorang itu harus memenuhi 3 syarat iaitu tingkahlaku dan perbuatannya berdasarkan Sunnah, bersih hatinya dari sifat-sifat mazmumah dan tidak rakus terhadap harta dunia.

Mengenal dan mengetahui semua nama Wali Allah

Nabi Khidir bukan sahaja mengenali semua nama wali Allah, bahkan beliau merupakan pembimbing bagi setiap manusia yang diangkat oleh Allah untuk menjadi wali. Imam Syarani dalam Lawaqih Al-Anwar mengatakan bahwa Nabi Khidir a.s hanya akan menemui orang yang berhak memiliki kewalian dan menjadi wali.

Begitulah beberapa keistimewaan yang dimiliki oleh Nabi Khidir a.s yang mana keistimewaan tersebut tidak dimilik oleh manusia biasa.Beliau merupakan insan istimewa kerana telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk memiliki keistimewaan bersebut.Kesemua keistimewaan ini dipetik dari kitab Ensiklopedia Tasawuf Imam Al-Ghazali.

Pertemuan Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s.

Kisah pertemuan Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir merupakan satu kisah aneh dan menjadi satu catatan dalam sejarah para nabi.Setiap perancangan Allah s.w.t itu mempunyai hikmah yang tersembunyi.

Kisahnya bermula apabila Nabi Musa mengumpulkan semua pengikutnya di satu kawasan dan diberi nasihat kepada pengikutnya supaya beriman kepada Allah dan sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. menyeru Nabi Musa kepada kaumnya,

“Wahai kaumku, adakah di antara kamu mengetahui perkara-perkara ghaib?”.Tidak ada seorang pun dalam kalangan kaumnya mengakui mengetahui perkara ghaib. Maka berkata Nabi Musa kepada kaumnya :

“Ketahuilah bahawa aku adalah manusia yang paling mengetahui perkara-perkara ghaib.”

Kata-kata Nabi Musa itu telah menyebabkan dia ditegur oleh Allah s.w.t.

“Wahai Musa! Engkau tidak berhak berkata demikian. Ketahuilah bahawa ada hambaKU yang paling mengetahui perkara ghaib?.Jika engkau mahu menemui hambaKU, maka berjalanlah engkau. Jika sudah berada di antara pertemuan dua buah lautan maka berhentilah, engkau akan berjumpa denganya. Dia bernama Khidir”.

Kemudian, Nabi Musa bersama sahabatnya yang bernama Yusha bin Nun memulakan perjalanan dengan membawa seekor ikan yang diletakkan dalam satu bekas.(EFEK) Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa supaya membawa seekor ikan, di mana ikan itu meluncur ke laut, di situ lah Nabi Musa akan menemui Nabi Khidir. Mereka meneruskan perjalanan hingga tiba di satu kawasan yang mempunyai sebuah batu besar di pinggir pantai.Mereka merehatkan badan untuk menghilangkan penat, lalu mereka tertidur.Ketika itulah ikan yang mereka bawa tadi melompat dan terus masuk ke laut.

Perkara ini diceritakan oleh sahabatnya kepada Nabi Musa.Kemudian Nabi Musa memaklumkan kepada sahabatnya itu bahawa itu lah tempat yang mereka cari.Mereka meneruskan perjalanan untuk mencari pertemuan antara dua lautan.Apabila mereka sampai di tempat yang dimaksudkan. Nabi Musa melihat seseorang yang sedang duduk berselimutkan pakaian yang rapat. Mereka menghampiri manusia itu lalu mengucapkan salam.

“Assalamualaikum, aku Musa. Apakah engkau yang bernama Khidir? Soal Nabi Musa.

“Waalaikumussalam, betul aku Khidir. Apakah engkau Musa dari bani Israil?”. Soal Khidir.

“Ya betul, wahai saudaraku Khidir, bolekah aku mengikutimu untuk belajar ilmu yang engkau miliki?” soal Musa.

Nabi Khidir menjawab :“ Wahai Musa, ketahuilah sesunguhnya engkau memiliki ilmu yang Allah ajarkan kepadamu dan aku tidak mengetahuinya. Dan aku memiliki ilmu yang Allah ajarkan kepadaku yang engkau pun tidak mengetahuinya.Musa, sama sekali engkau tidak akan dapat bersabar ketika mengikutiku nanti”.

“Tolonglah wahai Khidir, aku ingin sekali mengetahui ilmumu”. Pinta Nabi Musa kepada Khidir.

“Baiklah, jika engkau ingin berilmu denganku, engkau jangan sekali-kali bertanya dan menggugat apa yang aku lakukan”. Pinta Khidir.

Nabi Musa menyetujui permintaan itu dan mereka menyusuri tepi pantai, tatkala mereka telah menaiki perahu, maka Nabi Khidir pun memecahkan sebahagian perahu itu.Kejadian ini mengejutkan Nabi Musa, dia hairan mengapa Nabi Khidir memecahkkan perahu tersebut.Lalu Nabi Musa bertanya kepada Nabi Khidir.

“Mengapakah engkau memecahkan perahu ini, tentu engkau akan membinasakan penumpangnya, sesungguhnya perbuatan engkau sangat jahat sekali”.

“Bukankah sudah aku katakana kepadamu wahai Musa, engkau tidak dapat sabar bersamaku”. Jawab Khidir. Ternyata Nabi Musa telah terlupa akan janji-janjinya bersama Khidir sebelum mereka memulakan perjalanan.

Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan sehingga bertemu dengan seorang anak kecil, lalu Nabi Khidir membunuh anak tersebut.Sekali lagi kejadian yang tidak disangka oleh Nabi Musa berlaku dihadapannya. Terus Nabi Musa bertanya kepada Khidir :

“Mengapakah engkau membunuh seorang jiwa yang bersih dan suci, sedangkan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.”

Nabi Khidir menjawab dengan jawapan yang sama. Selepas kejadian itu, mereka meneruskan perjalanan hingga s[tiba di sebuah negeri iaitu Antakia, lalu mereka meminta supaya orang negeri itu memberi mereka sedikit makanan, namun permintaan mereka ditolak. Mereka tidak diberikan makanan oleh penduduk negeri tersebut.Dalam negeri tersebut terdapat sebuah rumah lama yang hamper roboh. Lalu Nabi Khidir membaikinya hingga selesai.Setelah selesai rumah itu dibaiki, maka berkata Nabi Khidir kepada Nabi Musa.

“Sesungguhnya ini adalah titik pemisah antara kita.nanti aku akan beritahu kepada kamu atas apa yang telah aku lakukan, yang engkau tidak sabar itu. memang perahu yang aku pecahkan itu milik orang miskin, akan tetapi diseberang sana ada seorang raja yang akan merampas perahu mereka. Jadi apabila perahu itu rosak, maka raja tersebut tidak dapat merampas perahu ini dan pemilik perahu ini tidak akan dianiayai oleh raja yang zalim itu. adapun anak muda yang aku bunuh itu memilik ibu bapa yang beriman, namun apabila dewasa anak itu tidak akan mengikut jejak ibu bapanya. Dan aku telah berdoa kepada Allah s.w.t supaya diberi anak yang soleh dan lebih suci daripada anak itu.rumah yang aku baiki ini adalah milik dua orang anak yatim, di dalam rumah ini ada harta yang ditinggalkan oleh bapa mereka. Maka Allahg menghendaki supaya keduanya sampai dewasa, lalu mereka dapat mewarisi harta ini dan harta ini tidak akan dirampas oleh orang lain.”

Kata-kata akhir Nabi Khidir kepada Nabi Musa cukup menarik. Nabi Khidir menyatakan apa yang dilakukannya bukan atas kemahuannya, tetapi kemahuan Allah. Hal ini disebutkan dalam surah al-Kahfi ayat 82 :

“adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “Harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang Yang soleh. maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka Yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). dan (ingatlah) Aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara Yang Engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.

Begitulah berakhirnya pertemuan antara Nabi Musa dengan Nabi Khidir.Kisah yang memberikan pengajaran kepada kita semua supaya sentiasa bersabar dalam menuntut ilmu. Ilmu Allah s.w.t itu sangat luas, kita hanya memilik apa yang Allah s.w.t berikan dan izinkan sahaja. Itulah sifat pemurah dan penyayang Allah s.w.t terhadap hamba-hambaNYA.(Alkumayi, 2008)
Kesimpulan

Kisah Nabi Khidir yang dipaparkan oleh penulis dalam atikel ini merupakan sebuah kisah yang aneh dan diluar jangkauan kita sebagai manusia biasa.Seperti kejadia-kejadian yang berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khidir.Maha Suci Allah yang mengetahui segala yang tersurat dan tersirat.Penulis berharap atikel ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca.Tambahla ilmu selagi kita msih bernyawa.

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Sampaikan lah daripadaku walaupun satu ayat”.Hadis ini memberi makna kepada kita supaya setiap menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat.Kisah Nabi Khidir ini memang anieh. Hingga kini masih belum ada riwayat mahupun bukti yang mengatakan bahawa Nabi Khidir telah meninggal dunia.

Rujukan

Alkumayi, S. (2008). Kecerdasan Berasaskan Asmaul Husna. Batu Caves, Selangor: PTS Millenia Sdn. Bhd.

EFEK, T. (n.d.). Cerita Alquran untuk anak. 2012: Erlangga for kids.

Fuadi, M. (2009). Jaminan Sosial Nelayan. Yogyakarta: Pustakan Pesantren.

M.Abdul Mujieb, S. H. (2009). Ensiklopedia Tasawuf Imam Al-Ghazali. Jakarta: Hikmah (PT Mizan Publika).



Masih hidupkah dan keramatkah dia?



Nama sebenar

Balya bin Malkan bin Paligh bin ‘Aber bin Shalikh bin Arfhashad bin Sam bin Nuh alaihissalam. Gelaran beliau juga dalam bahasa arab ialah Abu Abbas. Ayahnya berketurunan raja.



Sebab digelar Khidir

Hidhir dari perkataan Khudrun bermakna hijau. Beliau digelar dengan panggilan Khidir kerana jika beliau duduk di atas suatu tempat,benda yang putih nescaya akan bertukar warnanya menjadi hijau.

Juga dikatakan jika beliau solat, warna sekelilingnya akan bertukar menjadi hijau. Pendapat yang pertama lebih tepat.


Kedudukan Nabi Khidir

Ada yang berpendapat, beliau adalah guru nabi-nabi.


Keadaan Nabi Khidir

Beliau adalah seorang Nabi yang mempunyai umur yang panjang dan dilindungi dari pandangan.


Bersama Nabi Ilyas alaihissalam

Beliau bersama Nabi Ilyas alaihissalam masih hidup lagi sekarang ini sehingga diangkat Al Quraan dari bumi ini sebelum Qiamat. Apabila terangkat Al Quraan maka keduanya telah meninggal ketika itu.


Kisah beliau dengan dajjal

Beliau juga adalah yang akan cuba dibunuh oleh dajal. Badannya akan digergaji dua dan kemudian dicantumkan kembali.



Bertemu Nabi Muhammad sallawaalaihiwasallam

Ada kalangan ulama yang memasukan beliau di dalam nama-nama sahabat kerana belaiu pernah hidup bersama Nabi sallawaalaihiwasalam dan menemuinya.

Pada waktu Nabi Muhammad alaihissalam diutus sebagai Rasul, beliau tidak menerima wahyu seperti sebelum Nabi Muhammad alaihissalam diutus. Namun kenabiannya tidak gugur.

Dalam musnad Imam Syafie ada dinyatakan bahawa beliau pernah menemui Nabi Muhammad alaihissalam.

Adakah mungkin ada manusia yang berumur panjang dan masih hidup hingga sekarang?
Tidak timbul masalah kerana sekarang ini masih ada Nabi selain Nabi Khidir yang masih hidup dan dinyatakan dalam Al Quraan seperti Nabi Isa alaihissalam.

Begitu juga tersebut dalam Al Quraan iaitu kisah Nabi Yunus dinyatakan sekiranya beliau tidak bertasbih dan menyedari kesilapannya nescaya beliau akan terus berada kekal di dalam perut ikan Nun hingga ke hari Qiamat. Maka tidak mustahil jika Nabi Khidir dipanjangkan umur. 


Ada yang memberi alasan dipanjangkan umur beliau kerana dua sebab :


Setelah bah besar yang berlaku zaman Nabi Nuh alaihissalam kering beliau telah mengebumikan semula jasad Nabi Adam alaihissalam dan dengan jasanya itu Nabi Adam mendoakan beliau hidup lama.

Beliau pernah meminum Maul Hayat di tempat pertemuannya dengan Nabi Musa alaihissalam.


Pendapat Pertama

Warna merah adalah tempat pertemuan antara Nabi Musa dan Nabi Khidir alaihimassalam. Pendapat ini dikatakan lebih kuat.



Pendapat Kedua

Warna hijau adalah tempat pertemuan antara Nabi Musa dan Nabi Khidir alaihimassalam

Antara doa yang diajar oleh Nabi Khidir alaihissalam


Dibaca waktu pagi dan petang

بسم الله ما شاء الله لا يسوق الخير إلا الله، بسم الله ما شاء الله لا يصــرف السـوء إلا الله، بسـم الله مـا شـاء الله ومـا بـكـم مـن نعمــة
فـمــن الله، بسـم الله مـا شـاء الله لا يـأتـي بـالحسنـات إلا الله، بسم الله ما شاء الله لا حول ولا قوة إلا بالله،

Dibaca 3x 


اللهم لا تشمت أعدائي بدائي، واجعل القرآن العظيم شفائي ودوائي، فأنا العليل وأنت المداوي

Dibaca 7x 

اللهم يا رب بجاه سيدنا محمد بن عبد الله صلى الله عليه وسلم اجمع بيني وبين سيدنا محمد بن عبد الله صلى الله تعالى عليه وسلم في الدنيا قبل الآخرة.

Kelebihan doa ini agar terhindar dari tipu helah musuh atau merasa sedih dengan muslihat mereka.Juga agar sejahtera dari penyakit dan mendapat perlindungan dari perkara buruk atau perkara yang mengelirukan.

Kalau anda mengalami perkara yang keliru, ragu-ragu dengan sesuatu dan ingin ambil keputusan segera maka segeralah gunakan doa ini. Setelah baca bertawakal.

DK

Post a Comment

Previous Post Next Post