Gol Cantik : Anugerah Puskas Kedua Dari Malaysia?


Pemain UITM FC, Nur Areff Kamaruddin (kiri) meraikan jaringan cantik ketika menentang JDT II pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang(MPPG), baru-baru ini.

Selepas Faiz Subri menggegar dunia dengan sepakan percuma 'melanggar' hukum fizik, mungkinkah akan ada anak kedua Malaysia yang mampu mencipta kejutan merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2018?

Perkara itu kini dilihat tidak mustahil selepas seorang pemain tempatan yang beraksi bersama UiTM FC, Nur Areff Kamarudin meledak gol cantik pada aksi Liga Perdana bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDTII) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Rabu lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu menyambut bola yang dikeluarkan pertahanan JDTII dengan dada sebelum melakukan voli dari jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Sommerville.

Lebih manis, jaringan cantik itu menjadi gol penyamaan pada minit akhir perlawanan sekali gus membolehkan skuad bimbingan Wan Mustapha Wan Ismail mengikat kedudukan 2-2 selepas ketinggalan dua gol.

Jaringan itu menjadi tular di laman media sosial selepas pelayar internet menyifatkan jaringan terbabit hampir mirip voli yang dilakukan pemain Colombia, James Rodriguez pada suku akhir Piala Dunia 2014 bertemu Uruguay yang menyaksikan pemain tengah Bayern Munich itu merangkul Anugerah Puskas FIFA 2014.

Nur Areff ketika dihubungi berkata, jaringan itu dilakukan selepas dia melihat kedudukan Sommerville yang sedikit keluar daripada kedudukan dan dia cuba mengambil kesempatan untuk membuat percubaan.

"Jaringan itu memang memberi motivasi kepada saya dan saya bersyukur apabila percubaan saya berjaya menerjah gawang sekali gus membolehkan kami meraih satu mata. Bagi saya, ia satu penghormatan apabila dibandingkan dengan jaringan yang dilakukan Rodriguez. Ia juga akan menjadi satu penghormatan yang besar jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar pencalonan gol itu kepada FIFA. Bagaimanapun, terpulang kepada FAM untuk menghantar pencalonan atau sebaliknya. Apa pun, saya berterima kasih kepada FAM jika mereka mahu mencalonkan gol itu," 

Meskipun sekadar beraksi sebagai pemain gantian, namun pemain Persatuan Bolasepak Melayu Selangor itu memperagakan prestasi memberangsangkan musim ini apabila melakukan hantaran gol untuk gol kedua The Lion Troops ketika aksi pertama bertemu Pulau Pinang selain melakar gol penyamaan pada aksi kedua bertemu JDTII.




Sumber : Berita Harian Online


DK

Post a Comment

Previous Post Next Post