Tutur bicaranya dalam loghat pekat Kelantan langsung tidak menampakkan dia berbangsa Siam.
Malah lebih unik, wajah anak-anaknya ada yang mirip kaum India.
Keunikan yang ada pada diri Kenum Edam, 42 inilah menjadikan dia popular di Kampung Aril, Bachok/Kota Bharu, Kelantan.
Namun kemahiran yang dimilikinya menggunting rambut sejak usia 17 tahun membuatkan dirinya semakin terkenal.
Kenum berkata, walaupun dia bangsa Siam dan suaminya pula bangsa India, tinggal dalam kawasan komuniti Melayu bukanlah halangan kepada dia untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai tukang gunting rambut.
Menurutnya, baginya orang Melayu sama seperti masyarakat Siam dan India yang suka bantu-membantu dan peramah.
"Majoriti penduduk di sini juga ramai masyarakat Siam dan kami tinggal dalam suasana harmoni walaupun berbeza agama,"
Tak ambil upah mahal
Menyewa kedai berdekatan Simpang Tiga Pauh Lima, Bachok, Kelantan, Kenum bukan sahaja mahir menggunting rambut pelbagai gaya malah dia juga mahir beri perkhidmatan mencuci rambut termasuk urut kepala.
Kenum berkata, dia mencari pengalaman menjadi tukang gunting rambut di luar Kelantan sebelum kembali berkhidmat di kampungnya sendiri iaitu Kampung Aril.
Kemahiran Kenum sentiasa menjadi tumpuan penduduk Kampung Aril dan kawasan Bachok.
“Oleh itu, saya tidak ambil upah mahal sebab pelanggan saya kebanyakannya orang kampung. Saya ambil upah serendah RM4 untuk kanak-kanak dan buka kedai dari 10.00 pagi hingga 9.00 malam. Setakat ini, anak perempuan saya, Vinotini mempunyai minat yang sama tetapi belum mahir untuk menggunting rambut,”
Pelik tengok wajah keluarga
Kenum berkata, ramai yang hairan melihat wajah ahli keluarganya apabila datang ke kedai.
"Jika yang tidak mengenali kami yang kahwin campur, tidak hairan kalau ada pelanggan yang merenung wajah keluarga saya. Saya berkulit cerah dan suami pula bangsa India tetapi biasanya mereka akan merenung lama wajah anak-anak saya iaitu Vinotini, 18, Tinesh, 17, Patmasini, 15 dan Kavinesh, 7. Tetapi setelah tahu latar belakang keluarga, mereka faham dan kagum dengan kehidupan kami,"
Katanya lagi, dia boleh memahami pertuturan bahasa Tamil tetapi sehingga sekarang hanya mampu bertutur dua dan tiga patah perkataan sahaja.
Berbeza dengan suaminya yang boleh bertutur banyak bahasa seperti Tamil, Siam, Melayu, Inggeris dan loghat Kelantan dan sekali sekala bertutur dalam bahasa Mandarin.
Menceritakan bagaimana dia bertemu jodoh dengan suaminya, Rajendran Rajagopal, 46, Kenum berkata, suaminya sering datang kedainya untuk gunting dan cuci rambut semasa dia bekerja di Kerteh, Terengganu.
Pada mula katanya dia tidak perasan suaminya itu minat kepadanya tetapi setelah beberapa kali dia datang kedai, lama-kelamaan majikannya mula menghidu perasaan itu.
“Pernah saya lari dari dia, dia datang ikut pintu hadapan dan saya lari ikut pintu belakang, tetapi jodoh kami kuat, akhirnya kami berkahwin,”
Tambahnya, suaminya kini bertugas di Korea dan berasal dari Petaling Jaya.
Tags
Kelantan