Milo Ais Kepal Di Rantau Panjang




TIDAK perlu cari jauh, ais kepal tular di laman sosial kini boleh sahaja dinikmati berdekatan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Khay Boon, Rantau Panjang.

Mengetengahkan nama Milo Ais Kepal Viral, Ahmad Aiman, 23, mengakui mampu menjual hampir 150 bekas pada hari pertama jualan.

Malah katanya, kerana tidak menang tangan selepas membuka gerai pada jam 11 pagi menyebabkan dia mengambil tiga pekerja bagi menampung tugas berkenaan.

"Saya tak sangka juadah ini mendapat sambutan hangat biarpun baru saja memulakan perniagaan empat hari lalu," katanya.

Menurutnya, idea ini timbul selepas rakannya mengeluh kerana lokasi jualan ais kepal viral terletak lebih 40 kilometer dari Rantau Panjang.

“Selain mempelbagaikan jualan yang saya ceburi sebelum ini, saya ambil peluang ini untuk kemudahan rakan-rakan dan pelanggan di Rantau Panjang. Saya menggunakan konsep jualan mengikut musim, sebelum ini saya jual aiskrim pasu, tapi sekarang timbul pula ais kepal milo,”

Memandangkan persaingan yang banyak di Rantau Panjang, Ahmad berkata, dia mengolah sajian ini mengikut kesesuaian peminat tempatan.

Katanya, penggunaan hiasan makanan, biskut dan coklat bewarna-warni turut menarik perhatian kanak-kanak.

Bagi meringankan beban pelanggannya, dia menjual ais kepal ini pada harga RM3.50 manakala RM5 bagi mangkuk istimewa.



Sumber : Sinar Harian Online

DK

Post a Comment

Previous Post Next Post