Amalan Harian Yang Mudah Untuk Diamalkan

Assalamualaikum kepada pembaca blog ini yang dirahmati Allah.

Artikel kali ini bertujuan mengajak tuan/puan supaya dapat mengamalkan suatu amalan yang mudah, dan semoga kita semua dapat beristiqomah dalam melakukannya. 
Nabi berkata Allah lebih suka suatu amalan yang berterusan, walaupun ianya sangat sedikit/pendek.



A. Hadiah Al-Fatihah setiap pagi selepas Subuh

1. Kepada diri sendiri 7X
2. Kepada Rasulullah dan ahlil bait 1X
3. Kepada semua Nabi dan Rasul sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad 1X
4. Kepada semua sahabat Nabi r.a. 1X
5. Kepada semua warisatul anbia’, wali kutub, wali-wali Allah 1X
6. Kepada semua malaikat di langit dan di bumi 1X
7. Kepada kedua ibubapa 1X
8. Kepada diri yang sebenar diri dan untuk kalimah Lailahaillah 1X
Penerangan:

1. Sebelum kita memberi hadiah kepada orang lain, kita mestilah ada bekalannya dahulu. Dan selalunya, kita hanya bersedekah kepada orang lain dan tiada sesiapa yang akan bersedekah untuk kita. Maka, oleh itu sebaiknyalah kita bersedekah untuk diri kita dahulu. Seperti juga zakat.
2. Sebagai tanda kita kasih akan Baginda Nabi, maka seharusnyalah kita sentiasa bersedekah untuknya, sebagaimana kita selalu berselawat keatasnya ketika solat.
3. Semua Nabi dan Rasul itu adalah kekasih Allah, maka selayaknyalah kita juga mesti ingat kepada mereka. Bila kita ingat semua kekasihNya, maka Dia juga akan ingat akan kita.
4. Semua sahabat Nabi itu mendapat tempat yang istimewa di sisi Nabi di akhirat nanti. Maka adalah amat dituntut bagi kita untuk mengingati mereka juga.
5. Semua warisatul anbia’ itu adalah pewaris Nabi, maka selayaknyalah kita berterimakasih kepada mereka. Kerana tanpa mereka, Islam dan ilmunya tidak sampai kepada kita.
6. Para malaikat itu ditugaskan untuk menjaga kita. Amatlah molek jika kita bersedekah untuk mereka juga supaya mereka dapat menjadi saksi yang baik untuk kita.
7. Allah akan murka kepada kita jika kita tidak mendoakan kedua ibubapa kita. Oleh itu, kita kena perlu bersedekah dan berdoa untuk mereka juga. Selain ketika ini, setiap kali kita membaca Al-Fatihah di dalam solat, sebelum membaca amin, ini adalah tempat yang sesuai untuk kita berdoa untuk keampunan bagi mereka dengan doa “rabbigh firli waaliwaalidaiya”.
8. Diri yang sebenar diri kita adalah roh kita, yang akan kembali menemui Allah nanti. Bila kita bersedekah kepada roh kita sendiri, insyaallah adalah bekalan yang akan kita bawa nanti. Kita bersedekah untuk kalimah Lailahaillah supaya kalimah yang mulia itu akan rapat di hati kita, dan akan datang kepada kita di saat-saat kita amat memerlukannya, iaitu ketika malaikat Izrail datang menjemput kita.

B. Kita yang dilahirkan sebagai manusia biasa ini adalah senantiasa di dalam keadaan berdosa. 
Contoh dosa yang biasa kita lakukan :

– dosa hati seperti bersangka buruk dengan orang lain, ujub dan riak yang sengaja atau tidak,
– mengumpat/terumpat atau terdengar orang lain mengumpat

Oleh itu, bila kita banyak berdosa dengan Allah (tidak termasuk dosa dengan sesama manusia lagi), maka perkara yang wajib untuk kita lakukan adalah beristighfar meminta keampunan dariNya. Salah satu istighfar yang baik untuk diamalkan adalah penghulu istighfar. Selepas selesai solat fardu, bacalah aturan ini:
Rabbi a’uzubika min hamazatisyayatin, wa a’uzubika rabbi ayyahdhurun
Astaghfirullahalazim
3X 
Allazi lailahailla huwal haiyu qaiyum waatubuilaih
Bismillahirahmanirrahim
3X
Ashhaduan Lailahaillallah Waashhaduanna Muhammadarrasulullah
Innalillahi wainnailaihiraji’un
Bismillahirahmanirrahim
La hayyun, La Alimun, La Qadirun, La Muriidun, La Samiun, La Basiirun, La Mutakallimun, bihaqqi illallah, wala haulawala quwwata illabilla hil’aliyil ‘azim.

Bismillahirrahmanirrahim



Maksudnya: “Ya Allah, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku, aku adalah hamba-Mu, dan aku berjanji mentaati-Mu semampuku, aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan kelakuanku, Kukembalikan kepada-Mu segala nikmat yang Kau berikan dan aku kembali kepada-Mu dengan dosa yang kulakukan. Ampunilah aku, kerana tiada siapa yang dapat mengampuniku melainkau Engkau.”
(Riwayat al-Bukhari no. 6306, 6323)

Nota:
Penghulu Istighfar

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Syaddad bin Aus, Nabi mengajar sepotong doa. Sesiapa yang membacanya dengan keimanan pada waktu pagi, lalu dia mati pada petangnya, maka dia akan menjadi ahli syurga. Demikian pula bagi yang membacanya dengan keimanan pada waktu petang, lalu meninggal dunia selepas itu maka jadilah dia daripada kalangan ahli syurga:

Waktu sebelum Subuh (waktu Sahur) dan selepas solat Asar adalah waktu yang sesuai untuk beristighfar sebanyak 70X. 
Diriwayatkan, bila kita istighfar 70X itu akan menghapuskan dosa kita selama 70 tahun. Akan di ampunkan pula dosa ibu kita untuk tahun yang terlebih itu.

Selain dari itu, setiap kali ketika hendak mandi, apalah salahnya jika kita berniat untuk mandi sunat taubat, selain dari niat untuk menghilangkan bau badan dan segala penyakit rohani dan jasmani.

C. Berselawat ke atas Nabi
Berselawatlah ke atas Nabi, kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat keatas Baginda. Sekali kita berselawat keatasnya, 10X Allah akan memberi rahmat kepada kita. Bila kita rujuk kitab-kitab yang biasa ditulis, kita akan dapati terlalu banyak kelebihan bila selawat ini menjadi amalan kita.

Pernah diceritakan ada seorang yang telah meninggal dunia bertukar wajahnya menjadi kehitaman. Tidak lama selepas itu anaknya melihat wajah ayahnya telah bertukar kembali seperti sediakala. Menurut anaknya, ayahnya banyak melakukan dosa ketika hayatnya. Tetapi pada masa yang sama, beliau juga banyak berselawat ke atas Nabi. Kemungkinan dengan berkat banyak berselawat itulah wajah ayahnya itu telah kembali pulih.

Secara logiknya, kita akan dibangkitkan di akhirat nanti bersama dengan berbilion orang lain yang juga umat Nabi Muhammad. Dengan seramai itu, bagaimanakah Nabi kita boleh mengenali kita dan memberi syafaat kepada kita? Hanya dengan banyak berselawatlah kita akan dapat dikenalinya dengan mudah. Logiknya, jika kita selalu memberi hadiah kepada seseorang, pasti beliau akan selalu ingatkan kita.

Di antara selawat yang bagus untuk diamalkan adalah selawat Tafrijiah/Kaamilah/Nariah, dibaca 11X selepas Subuh.

http://datoksirkronik.blogspot.com/2015/04/selawat-tafrijiyyah-penghulu-selawat.html

D. Membaca doa untuk keberkatan dunia dan akhirat sebelum salam di dalam solat. Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita.
Doanya: Rabbanaa aatinaa fiddunyaa hasanah Wafil aakhiratihasanah Waqinaa ‘azaabannar.

Boleh juga ditambah dengan doa lain yang dimulai dengan rabbanaa atau juga doa-doa yang lain.

E . Membaca doa seribu dinar 3X setiap lepas solat. Mudah-mudahan Allah memberi kemudahan kepada kehidupan kita dan diberi rezeki yang tidak disangka-sangka.

F. Membaca doa untuk menjauhkan bala.
Bacalah doa ini setiap lepas solat subuh dan asar. Mudah-mudahan Allah akan menjauhkan kita dari segala bahaya.

Bismillahillazi laayadhurruma’asmihii syaiunfil ardhi walaafissamaai wahuwassamii ‘un’aliim 3X

G. Ketika menaiki kenderaan

Kemalangan itu boleh berlaku bila-bila dan di mana sahaja. Selepas kita memastikan yang kereta kita berkeadaan baik, cara memandu kita yang tidak merbahaya, kita hendaklah sentiasa bermohon kepada Allah meminta supaya dijauhkan ia daripada menimpa kita. Banyak kejadian yang berlaku walaupun dia memandu secara berhemah, ada kenderaan lain pula yang entah dari mana datangnya melanggarnya. Maka, di sinilah pentingnya untuk kita berdoa sebelum memulakan perjalanan. Lebih-lebih lagi jika ianya suatu perjalanan yang jauh. Di antara doa yang bagus:

a. Bismillahirrahmaanirrahim
b. Bismillahi tawakkaltu ‘alallah walaahaulawala quwwata illabillahil ‘aliyyil ‘azim
c. Doa naik kenderaan:
Subhaanallazii sakhkharalana haazawamakunnalahu muqriniin Waiinaila rabbina lamun qalibuun
d. Bismillahillazi laayadhurruma’asmihii syaiunfil ardhi walaafissamaai wahuwassamii ‘un’aliim
Jika ianya perjalanan yang jauh, seeloknya dilakukan solat hajat sekali sebelum memulakan perjalanan itu (atau di malam sebelumnya) memohon supaya:

a. Dilindungkan, diselamatkan, dijauhkan daripada terlanggar, dilanggar atau terbabas ketika memandu
b. Dijauhkan dari mengalami kereta rosak atau tayar pancit dijalanraya
c. Dijauhkan dari menjadi mengantuk atau tertidur ketika memandu
d. Dirahmati sepanjang perjalanan pergi dan balik
Jika kita terlihat ada kemalangan yang berlaku ketika dalam perjalanan, seeloknya kita terus berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku bersyukur Engkau telah melindungkan aku dari kemalangan seperti itu. Ya Allah ya tuhanku, lindungkanlah aku, selamatkanlah aku, jauhkanlah aku dari melanggar, dilanggar atau terbabas di jalanraya.
Ini kerana Allah gembira jika Dia mendengar ada hambaNya yang bersyukur. Dan Dia akan menambahkan lagi rahmat/rezekiNya kepada mereka.

Jika ada pula yang kita lihat dikenakan saman polis, janganlah pula kita mentertawakan/mengatakan padanlah dengan mereka. Ini kerana kita tiada hak untuk berkata demikian. 
Sebaliknya, kita harus berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku bersyukur Engkau telah menjauhkan/menyelamatkan aku dari disaman seperti itu. Ya Allah ya tuhanku, lindungilah aku, selamatkanlah aku, jauhkanlah aku daripada disaman polis di jalanraya.

H. Sebelum tidur

Tidur adalah keadaan di mana roh kita keluar dari badan, dan ada ketikanya orang yang meninggal (bila roh itu tidak kembali ke badannya) semasa di dalam tidurnya. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bersedia untuk menghadapinya. Oleh itu, kita mestilah memulakannya dengan beristighfar:
a. Istighfar 3X
b. Mengucap
c. Al Fatihah

Untuk mengelakkan tidur dari gangguan, disambung pula dengan:
d. Ayat Kursi
e. Al Ikhlas
f. Al Falaq
g. An Nas 
Dibaca dan ditiupkan kepada dua-dua tapak tangan, disapu keseluruh badan. Buat 3X.
h. Bagus kalau disambung dengan Bismillah 21X.
Jika ingin bangun tidur pada waktunya (eg jika tiada jam loceng), bacalah 
Yaa Kaukaz, Wa Ajruka 'Alallooh, (Sebutkan jam berapa nak bangun)


Amalan Tambahan

Untuk menebus diri kita daripada api neraka, ini adalah amalan yang sangat dituntut, iaitu menghadiahkan surah Al Ikhlas 70,000X untuk diri kita. (Sebaiknya dibaca selepas amalan Al Fatihah setiap hari). Tetapi haruslah diingat, tiada jaminan yang aqidah kita tidak boleh/akan terpesong setelah mengamalkannya. 
Dan hendaklah juga dihindari dari merasa 'ujub (bangga diri) yang kita telah melaksanakannya, berbanding dengan orang lain. Selama masa untuk menghabiskan amalan ini, tidak diharuskan untuk kita menghadiahkan Al Ikhlas ini kepada orang lain. 
Jika ingin bersedekah, maka memadailah bersedekah hanya dengan Al Fatihah dan/atau Yaasin dahulu. Jika telah selesai, bolehlah pula kita melakukannya/menghadiahkan Al Ikhlas 70,000X ini untuk ibu dan ayah kita.

DK

1 Comments

Previous Post Next Post