Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga



Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang kedua disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam, namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil, manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga




Dia (iblis) lupa akibat urusannya, maka Allah SWT telah memerintahkannya sujud kepada Adam.

Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."

Lalu Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki."

Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong.

Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu dan ketika para malaikat mengangkat kepala, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud.

Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir."

Kemudian Allah SWT merubah wajahnya daripada asal yang sangat indah kepada bentuk seperti babi hutan.

Allah SWT membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya.

Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi.

"Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah makhluk yang terkutuk." (QS Shaad: 77)

Allah SWT melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir.

Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai empat sayap, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggaan para malaikat dan pemukanya, dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah SWT membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril dan Mikail.

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?"

Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."

Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."

Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."

Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku."

Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Lalu Allah berfirman yang maksudnya, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, (ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang menaiki kuda mahupun yang berjalan kaki). Dan bersekutulah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusaha dan mengarahkannya ke jalan yang haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah dengan mereka."


Perkara ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud, "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tidak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

Ambil Pengajaran

Kita selalu membayangkan iblis dengan hal-hal yang negatif, padahal ada perkara positif yang boleh kita ambil pengajaran darinya.

Salah satu yang sangat penting adalah, ibadah tidak menjamin kita masuk ke dalam syurga, makanya kita harus berhati-hati dan selalu berdoa kepada Allah SWT supaya meninggal dunia dalam keadaan khusnul khotimah.

Sabda Rasulullah SAW, "Tidak ada amalan seorangpun yang dapat memasukkannya ke dalam syurga dan menyelamatkannya dari neraka. Tidak juga dengan ku, kecuali dengan rahmat Allah SWT." (HR Muslim).

Wallahu a'lam.




DK

Post a Comment

Previous Post Next Post