Mengutamakan Mencari Perhatian Allah

 
 
Hari ini kita lebih gemar mengejar dan mengharapkan perhatian makhluk daripada mendapatkan perhatian Allah. Hati kita tanpa disedari telah pun diselubungi dengan FITNAH. Cinta kepada DUNIA. Kalau orang Agama sendiri pun menggunakan AGAMA untuk mengejar dan mendapatkan DUNIA, mengabaikan AKHIRAT. Tidak mengajak ummat untuk sama-sama beramal menyediakan bekal dan perisai untuk menghadapi fitnah yang dahsyat yang sedikit demi sedikit telah pun terzahir di akhir zaman ini.

Agak-agaknya bagaimanakah keadaan ummat pada zaman ini? Yang mana kami rata-ratanya sebagai orang awam ini hanyalah mengikut, berpandukan kepada panduan yang diberikan kepada kami. Diberi PENAWAR Alhamdullilah tapi bagaimana sekiranya yang diberikan itu adalah RACUN? Binasalah kami.

Marilah kita mencari orang-orang yang benar-benar boleh membimbing kita, menuntut kita, membawa kita untuk betul-betul mengenal kepada Allah, bukannya hanya sekadar mengenal Islam sahaja. Islam itu zahir. Batin kita itu adalah Iman. Hari ini masalah iman/ tauhid paling merisaukan. Tidakkah kita pernah mendengar hadis Rasulullah ﷺ yang mewawarkan kepada kita mengenai perpecahan Ummat Baginda Rasulullah ﷺ pada akhir zaman kepada 73 golongan?

Tanda-tanda besar hari kiamat dan tanda-tanda kecil hari kiamat semua? Dunia ini semakin hari semakin sampai ke penghujungnya. Bukannya semakin maju dan canggih sepertimana yang diperlihatkan kepada kita pada hari ini. Perang di sana sini, anak zina merata-rata, riba, rasuah, maksiat dan kemungkaran di mana-mana tidak terbendung. Kita nampak semua itu tapi kita hanya memejamkan, membutakan mata kita sahaja.

Pesan Para Ariffbilllah "Akhir zaman ini selamatkanlah dirimu dan orang-orang yang kamu sayangi. Asingkan dirimu daripada manusia yang ingin membawa kamu tenggelam bersama-sama mereka di dalam lautan fitnah. Duduklah bersuhbah bersama-sama dengan orang-orang yang menasihatimu, membimbingmu menuju kepada Allah. Berhati-hati di dalam memilih sahabat. Tidak semua yang mendekatimu itu adalah sahabatmu. Boleh jadi mereka bersamamu kerana inginkan sesuatu daripadamu. Ramai sekali manusia yang bersahabat kerana inginkan sesuatu. Baik itu kerana rupa paras, inginkan nama, pangkat, jawatan, kedudukan, harta tetapi sedikit sekali manusia yang mampu bersahabat kerana Allah. Oleh kerana itu bersamalah dengan Allah selalu dengan kamu memperbanyakan zikirullah."

Alangkah beruntungnya orang-orang yang mana Allah telah pun menarik hati-hati mereka untuk menuju kepada Allah. Itulah yang sepatutnya kita semua harapkan sekarang ini.

Setiap apa yang mereka pelajari itu mereka berusaha sedaya upaya mereka untuk diamalkan di dalam kehidupan mereka.

Tidak sepertimana kita hari ini. Hari ini kita sangat lemah dikeranakan kita lebih seronok, hati kita terpaut dengan kecanggihan, kemodenan yang disajikan di hadapan kita. Kita lebih banyak makan, banyak cakap dan banyak tidur daripada banyak beramal.

Tidak sepertimana mereka orang-orang terdahulu. Inilah yang sangat-sangat dirisaukan oleh golongan Para Auliya, Para Ulama dan Solihin. Waktu mereka sentiasa diisi, dipenuhi dengan zikirullah, ilmu, amal, rasa takut dan berharap kepada Allah. Kalau tidak kerana munajat mereka, tangisan mereka, rintahan mereka nescaya kita hari ini sudah pun binasa.

Marilah kita bersama-sama menghidupkan kembali hati-hati kita, mengeluarkan diri kita daripada belenggu fitnah yang bersarang di dalam hati dengan kita mengikat hati kita bersama-sama dengan Para Auliya, Para Alim Ulamak dan Solihin. 
 
Bukan BERSAMA itu maksudnya sekadar kita berkhidmat, mengenal kepada mereka ataupun kita duduk bersama dengan mereka ataupun kita belajar dengan mereka sahaja. Apatah lagi sampai kita bergambar, berselfie dengan mereka sahaja.
 
Akan tetapi yang lebih penting daripada itu semua adalah kita semua berusaha untuk MENCONTOHI kepada mereka. Baik itu ADAB dan AKHLAK mereka. Begitu juga dengan AMALAN mereka. Perlulah setiap pergerakan kita, percakapan kita, duduk dan diam kita semua itu mencontohi kepada mereka yang dekat dengan Allah.
 

1 Sahabat Setia Blog Yang Baik Ini Telah Menulis Untuk "Mengutamakan Mencari Perhatian Allah"

 
Copyright © 2014 Datoksir Kronik - All Rights Reserved
Template By. Nyut Nyut